KUALA LUMPUR: Dua rakaman audio dan video daripada laman sosial TikTok berkaitan dengan ucapan yang dibuat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimainkan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Rakaman tersebut dimuat turun oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohd. Syawaludin Said pada 16 Januari dan 26 Julai 2025.
Rakaman audio tersebut dimuat turun daripada akaun TikTok @puterishantek yang antara lain berbunyi: “Tuduhan pada saya ialah saya salah guna kuasa. Tuduhan pada saya, saya terima rasuah. mana saya terima, wallahi satu sen pun tak masuk poket saya, dia masuk pada parti.”
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal pada sesi pemeriksaan utama, bagaimana saksi pertama pendakwaan itu dapat memastikan bahawa suara yang didengar adalah milik Muhyiddin, saksi itu memberitahu dia cam suara Muhyiddin kerana tertuduh adalah Perdana Menteri kelapan.
Rakaman kedua dimuat turun daripada akaun TikTok @wanhadi21 dan memaparkan `split video’ (gabungan dua video dalam satu paparan) Muhyiddin berkemeja T warna hitam dan bertopi dan sedang memakai baju melayu warna biru dan bersongkok.
Dalam ‘split video’ itu, paparan video di bahagian atas yang menunjukkan Muhyiddin memakai kemeja T antara lain mengucapkan: “Yang saya hadapi tuduhan bukan kerana saya rasuah. Parti saya dapat duit. Dia tuduh saya ambil duit” manakala paparan video di bahagian bawah pula menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh yang sedang berbaju melayu mengulangi kenyataan yang sama dalam rakaman audio @puterishantek.
Selepas kedua-dua rakaman itu dimainkan, salah seorang peguam bela Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad bagi dan membantah kedua-dua rakaman itu sebagai `P’ (bukti pendakwaan).
“Kami tiada masalah sekiranya rakaman-rakaman ini ditandakan sebagai `ID’ (bukti yang belum disahkan) kerana pada ketika ini kita tidak dapat memastikan ketulenannya, siapa sebenar yang membuat video-video ini,” kata peguam itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin yang mendengar perbicaraan itu bagaimanapun memaklum penandaan `P’ adalah bagi memudahkan penandaan bahan bukti dan ia tidak bermakna bahawa bukti itu diterima sepenuhnya.
“Saya sendiri tadi telah menimbulkan isu keaslian (authenticity) video ini. Untuk memudahkan kita tandakan dahulu tetapi kebolehterimaan bukti ini akan dibuktikan kemudian. Kita tandakan dulu bagi memudahkan pihak-pihak,”kata hakim berkenaan.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,79, dibicarakan atas tujuh pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh Amer Hamzah, saksi berkenaan `mengakui’ bahawa dia tidak pernah diberikan arahan dan menjalankan siasatan sendiri bagi mengesan atau memastikan identiti pemilik akaun @wanhadi21 dan @puterishantek.
Mohd. Syawaludin juga tidak dapat memastikan sama ada pemilik kedua-dua akaun media sosial itu adalah `cybertrooper’.
Amer Hamzah: Adakah @wanhadi21 dan @puterishantek ini cybertrooper?
Mohd. Syawaludin: Tidak pasti.
Amer Hamzah: Jadi awak tak boleh kecualikan bahawa kedua-dua ini adalah cybertrooper politik?
Mohd. Syawaludin: Tak pasti.
Amer Hamzah: Awak tak tahu, tak dapat pastikan bahawa mereka ini cybertrooper sebab awak tak buat siasatan?
Mohd. Syawaludin: Setuju.
Amer Hamzah: Adakah mereka cybertrooper MACC (SPRM)?
Mohd. Syawaludin: Tak pasti.
Amer Hamzah: Jadi ada kemungkinan mereka (@wanhadi21 dan @puterishantek) adalah cybertrooper MACC?
Mohd. Syawaludin: Tak pasti.
Amer Hamzah: MACC ada cybertrooper sendiri?
Mohd. Syawaludin: Tak pasti.
Selain itu, saksi itu juga mengakui dia tidak menyiasat sama ada kedua-dua rakaman audio dan video itu dijana melalui kecerdasan buatan (AI) namun tidak bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa TikTok adalah bukti yang tidak boleh dipercayai.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN











