Had tempoh gagal, sejarah politik tercatat tanda tanya

Had tempoh gagal, sejarah politik tercatat tanda tanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN Rakyat pada Isnin lalu menyaksikan detik yang sepatutnya menjadi titik perubahan sejarah politik negara, namun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun gagal memperoleh majoriti dua pertiga.

Daripada 222 ahli Parlimen, hanya 146 menyokong. Seramai 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Sedangkan 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. Angkanya jelas. Matematiknya mudah tetapi mesej politiknya jauh lebih mendalam daripada sekadar nombor.

Barangkali, ini bukan sekadar kegagalan sebuah RUU tetapi mencerminkan sikap terhadap falsafah kuasa.

BILA KUASA TIDAK MAHU DIHADKAN

Had 10 tahun bukanlah cadangan radikal atau revolusi. Ia bukan juga penggulingan sistem. Ia hanyalah usaha meletakkan sempadan masa terhadap jawatan paling berkuasa dalam negara.

Sempadan itu bukan untuk melemahkan perdana menteri tetapi untuk menguatkan sistem.

Malaysia pernah menyaksikan tempoh kepimpinan yang sangat panjang, termasuk era Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin lebih dua dekad secara kumulatif.

Ada yang melihat tempoh panjang sebagai lambang kestabilan. Tetapi sejarah juga menunjukkan kuasa yang terlalu lama boleh mewujudkan budaya takut, ‘yes man’ dan pemusatan kuasa yang menghakis semak imbang institusi.

Apabila RUU had tempoh ini gagal, persoalannya bukan lagi tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri tetapi mengapa wakil rakyat tidak bersedia mengehadkan kuasa tertinggi negara?

Adakah mereka benar-benar percaya kuasa tanpa had masa adalah lebih baik untuk demokrasi?

CUKUP HAMPIR, TETAPI TIDAK CUKUP BERANI

Hanya 146 ahli Parlimen menyokong. Itu menunjukkan ada kesedaran yang reformasi institusi perlu berlaku. Namun 44 berkecuali dan 32 tidak hadir membawa makna yang jauh lebih simbolik.

Berkecuali dalam isu mengehadkan kuasa tertinggi negara bukanlah sikap neutral. Ia adalah keputusan politik. Tidak hadir pula dalam pengundian sepenting ini menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan komitmen terhadap reformasi.

Bagaimana amanah yang dipikul itu dilaksanakan? Kita sebagai rakyat berhak bertanya jika had tempoh pun sukar dipersetujui, apakah jaminan bahawa reformasi lain yang lebih besar akan berjaya?

BUKAN SOAL INDIVIDU

Ada yang cuba membingkai perbahasan ini sebagai menyokong atau menolak individu tertentu. Itu silap besar. Had tempoh tidak ditujukan kepada seorang perdana menteri. Ia adalah mekanisme perlindungan untuk masa hadapan yang lebih baik. Bahkan, memastikan walau siapa pun yang memegang jawatan itu kelak, sistem tetap memiliki garis penamat yang jelas. Begitulah, sifir mudahnya.

Skandal besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada era Datuk Seri Najib Tun Razak bukan semata-mata soal tempoh jawatan tetapi menjadi pengajaran bahawa apabila institusi lemah dan kuasa terlalu terkumpul, menyebabkan kerosakan boleh berlaku dalam skala yang sukar dibayangkan.

Had tempoh adalah satu bentuk ‘brek perlembagaan’. Bukan kerana kita tidak percaya kepada manusia, tetapi kerana memahami sifat manusia.

DEMOKRASI MATANG ATAU TAKUT BERUBAH?

Negara demokrasi matang seperti Amerika Syarikat (AS) menghadkan tempoh presiden kepada dua penggal. Bukan kerana mereka antikestabilan tetapi kerana mahu kestabilan institusi, bukan individu.

Dunia mungkin melihat kita sebagai negara yang masih bergelut dengan reformasi asas apabila Malaysia gagal meluluskan had kuasa perdana menteri untuk 10 tahun.

Kita bercakap tentang tadbir urus baik, integriti dan pembaharuan tetapi dalam soal mengehadkan kuasa tertinggi, kita masih ragu-ragu dan tidak berani.

Ketahuilah, ini bukan soal malu di mata dunia. Ini soal keberanian di hadapan diri dan rakyat sendiri.

 

HANYA 146 daripada 222 ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

RAKYAT PERLU LEBIH PEKA

Rakyat sering marah apabila berlaku penyalahgunaan kuasa. Rakyat kecewa apabila institusi dilihat tidak bebas. Rakyat penat dengan polemik politik yang berpanjangan tetapi apabila peluang untuk memperkukuh sistem datang, malangnya ia gagal hanya kerana kurang dua undi, apakah mesejnya?

Ini menunjukkan reformasi institusi bukan hanya soal retorik di pentas ceramah. Ia memerlukan kesanggupan untuk mengorbankan sedikit ruang kuasa demi kebaikan jangka panjang negara.

Perlu diakui, had 10 tahun bukan penyelesaian mutlak. Jika budaya rasuah, politik wang dan patronaj masih berakar, maka walaupun pemimpin silih berganti tetapi sistem tetap bermasalah.

Namun had tempoh adalah langkah simbolik dan praktikal ke arah politik yang lebih sihat. Ia memaksa parti menyediakan pelapis. Ia menghalang ketergantungan kepada satu figura. Ia menggalakkan persaingan idea, bukan pemujaan individu.

Ketahuilah, ketika RUU ini gagal, kita kehilangan satu peluang penting untuk memperkukuh budaya institusi.

SOAL AMANAH, BUKAN WARISAN

Kuasa dalam demokrasi bukan warisan keluarga. Bukan juga milik peribadi. Ia adalah amanah yang dipinjam sementara daripada rakyat. Menghadkan tempoh bukan bermakna kita tidak menghargai pemimpin yang berkhidmat lama. Sebaliknya membuktikan kita lebih menghargai masa hadapan negara daripada keselesaan politik semasa.

Kegagalan meluluskan RUU ini harus menjadi titik muhasabah, bukan kepada kerajaan atau pembangkang sahaja tetapi kepada semua wakil rakyat.

Rakyat berhak tahu, di mana pendirian wakil mereka dalam isu mengehadkan kuasa ini?

Kerana pada akhirnya, demokrasi bukan semata-mata tentang memilih pemimpin tetapi tentang memastikan tiada siapa terlalu lama memegang kuasa sehingga sistem menjadi lemah.

Had 10 tahun telah gagal namun perbincangan tentang kuasa sebagai amanah tidak akan pernah berhenti.

Sejarah akan sentiasa mencatat siapa yang bersedia menghadkan kuasa dan siapa yang memilih untuk tidak melakukannya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×