NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton menafikan mengetahui sebarang jenayah yang dilakukan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein semasa perkenalan ringkas mereka.
Beliau menyatakan demikian dalam sesi soal jawab selama lebih enam jam yang dijalankan oleh ahli-ahli Kongres AS.
Ahli-ahli Kongres daripada parti pemerintah Republikan dan pembangkang, Demokrat beberapa kali menunjukkan gambar Clinton bersama wanita daripada beberapa bahan bukti fail Epstein yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman.
Mereka bertanya kepada Clinton sama ada beliau melakukan hubungan seks dengan mangsa-mangsa Epstein.
Ahli-ahli Kongres itu daripada kedua-dua parti menyatakan Clinton menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya dan secara umum menafikan sebarang salah laku.
“Saya tidak mempunyai sebarang idea mengenai jenayah yang dilakukan Epstein. Saya tahu apa yang saya lihat dan lebih penting, apa yang saya tidak lihat.
“Saya tahu apa yang saya lakukan dan lebih penting, apa yang saya tidak lakukan. Saya tidak melihat apa-apa, dan saya tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Clinton menjadi bekas presiden yang pertama terpaksa memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Kongres.
Peguam Clinton dan jawatankuasa yang diketuai Republikan berunding secara tertutup selama beberapa bulan sebelum Clinton dan isterinya, Hillary, akhirnya mematuhi saman untuk memberikan keterangan, selepas Kongres hampir mengundi untuk mendakwa mereka menghina undang-undang kerana keengganan untuk hadir.
Dalam soal jawab itu, Clinton secara sukarela menceritakan Trump pernah memberitahunya pada sekitar awal 2000-an bahawa beliau sudah tidak lagi berkawan dengan Epstein akibat perselisihan berkaitan urusan hartanah.
Pengakuan Clinton menutup dua hari siasatan jawatankuasa berprofil tinggi yang diketuai Republikan terhadap Epstein, susulan pengakuan bersumpah isterinya, Hillary Clinton, sehari sebelumnya.
Clinton tidak pernah dituduh oleh pihak berkuasa dalam kes berkaitan Espstein. Jurucakapnya berulang kali menegaskan beliau memutuskan hubungan sebelum ahli perniagaan itu disabitkan kesalahan berhubung pelacuran pada 2006. Clinton juga menafikan pernah melawat pulau yang dimiliki Epstein.
Trump turut menafikan sebarang salah laku berkaitan Epstein dan mengakui rasa tidak senang apabila Clinton disoal siasat. – AGENSI










