ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak mungkin akan diadakan secara mengejut pada pertengahan tahun ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN) meramalkan pilihan raya berkenaan hanya akan diadakan seawal Disember tahun ini atau Februari 2027.
“Ramai orang kata pilihan raya mengejut Julai tahun ini, saya rasa tak mungkin sebab tempoh sah (Kerajaan Negeri) Melaka sehingga Disember dan boleh pergi sampai Februari tahun depan iaitu 60 hari selepas tempoh maksimum.
“Selepas itu Sarawak dan Johor, jadi paling awal pun kalau nak buat serentak Februari 2027 atau pun lebih awal daripada itu, bulan Disember ini. Saya harap pilihan raya tahun depan lah, tahun ini cepat sangat, tak dan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Dana Pilihan Raya Pas Kawasan Kuala Kedah di Dewan Al-Amin, Teluk Bagan, semalam.
Bagaimanapun, beliau meminta jentera Pas dan PN khususnya bersedia untuk menghadapi PRU16 dengan membuat persiapan sepenuhnya memandangkan pola pengundian kali ini tidak lagi sama.
Katanya, PN yang diketuai Pas kini menjadi sandaran besar masyarakat terutamanya pengundi Melayu yang melihat parti berkenaan mewakili blok terbesar kaum itu.
“Kalau sembang dengan 10 orang, sembilan daripadanya meletak harapan untuk kuasa politik Islam Melayu sandarannya hanya pada Pas.
“UMNO tak boleh pakai dah, PKR hanyut terus dan PAN (Amanah) jadi barua DAP, jadi tak ada dah blok politik Melayu yang masih berbisa dan ada kekuatan melainkan Pas. Kitalah diletakkan harapan itu untuk orang Islam Melayu kekal memegang kuasa politik di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN










