KULAI: Kebakaran sebuah kilang getah di Kawasan Perindustrian Sengkang, di sini sejak Selasa lalu mengakibatkan harta benda penduduk setempat bertukar kehitaman.
Asap tebal yang berpunca daripada kebakaran itu turut menyebabkan tujuh buah sekolah dalam radius 10 kilometer dari kilang tersebut masih ditutup sehingga semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah terbabit mendapati tiada kehadiran pelajar pada sesi persekolahan semalam, hanya kelihatan kenderaan guru sahaja berada dalam kawasan sekolah.
Menurut peniaga, Nor Aishah Zainuddin, 35, hujan lebat ketika kejadian yang bercampur dengan asap tebal itu menyebabkan air hujan bertukar menjadi melekit dan kehitaman.
Katanya, keadaan itu menyebabkan khemah yang didirikan di luar kedai serta keretanya turut terpalit warna kehitaman tersebut.
“Bukan sahaja kereta saya, bahkan kereta pekerja dan peniaga-peniaga yang lain turut mengalami kotoran air hujan yang berubah warna hitam dan melekit itu.
“Disebabkan itu, saya sendiri mengalami kerugian hampir RM1,000 kerana kerosakan khemah selain perlu mengilatkan semula kereta yang berminyak hitam,” katanya.
Bagi seorang penduduk Taman Temenggong, Tan Kwak Lee, 51, berkata, dia merasa terkilan apabila rumahnya yang baharu sahaja dicat sempena perayaan Tahun Baharu Cina turut terjejas akibat kebakaran tersebut.
“Saya baru sahaja mengupah orang untuk cat rumah sempena Tahun Baharu Cina namun kini ia sudah kotor disebabkan air hujan berwarna hitam itu.
“Ia bukan mudah hendak hilangkan kotoran tersebut, jadi saya rasa kurang senang untuk menerima tetamu ketika ini,” katanya.
Bagi tukang masak, Zulkifli Mokhtar, 42, berkata, tindakan kerajaan negeri menutup sementara sesi persekolahan di sekolah berhampiran adalah langkah tepat kerana mengambil kira keselamatan pelajar.
Katanya, anaknya yang belajar di Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai mengalami batuk-batuk akibat daripada asap tebal tersebut. – UTUSAN










