Anak 10 tahun saman bapa kerana kahwin lagi - Utusan Malaysia

Anak 10 tahun saman bapa kerana kahwin lagi

SEORANG kanak-kanak lelaki menyaman bapanya di sebuah mahkamah di China,- Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menyaman bapa kandung yang menggunakan wang hadiah Tahun Baharu Cina miliknya lebih 80,000 yuan (RM45,000) untuk berkahwin lain.

Kes yang berlaku di wilayah Henan, China ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial mengenai hak pemilikan wang angpau atau sampul merah yang menjadi tradisi masyarakat di sana.

Mahkamah kini telah memerintahkan lelaki berkenaan untuk memulangkan semula kesemua wang tersebut kepada anak lelakinya.

Kanak-kanak itu sebelum ini tinggal bersama lelaki tersebut yang bercerai dengan ibunya.. 

Kesemua wang hadiah yang dikumpul selama bertahun-tahun telah didepositkan ke dalam sebuah akaun bank yang diuruskan oleh si bapa.

Bagaimanapun, selepas kanak-kanak itu berpindah untuk tinggal bersama ibunya susulan perkahwinan kedua bapanya, mereka mendapati akaun tersebut telah dikosongkan, termasuk faedah simpanan yang terkumpul.

Hasil siasatan mendapati bapa kanak-kanak itu telah menggunakan kesemua wang berjumlah 82,750 yuan (RM47,000) untuk menampung perbelanjaan perkahwinannya.

Si bapa pada mulanya enggan memulangkan wang tersebut dengan alasan bahawa ia merupakan hadiah yang diberikan oleh saudara-mara dan rakan-rakannya sendiri. Beliau juga mendakwa hanya akan menyerahkan wang itu apabila anaknya mencapai usia dewasa.

Malah, lelaki itu turut menuduh bekas isterinya sengaja menghasut anak mereka untuk menuntut wang berkenaan demi kepentingan kewangan peribadi.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa pemberian wang kepada kanak-kanak di bawah umur adalah sah sebagai harta peribadi di bawah kanun sivil China sebaik sahaja ia dipindahkan.

Mahkamah menyatakan bahawa ibu bapa, sebagai penjaga sah, hanya berhak menguruskan aset anak-anak dan bukannya memiliki aset tersebut.

“Wang tersebut hanya boleh digunakan oleh penjaga jika ia melibatkan kepentingan langsung kanak-kanak itu, seperti untuk tujuan pendidikan atau keperluan perubatan. 

“Menggunakan dana tersebut untuk perbelanjaan peribadi penjaga adalah satu pencabulan terhadap hak kanak-kanak,” menurut penghakiman mahkamah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×