PETALING JAYA: Pemakaian pakaian lokap berwarna oren dan gari terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes berprofil tinggi bukan bertujuan menghukum atau memalukan individu sebaliknya dilaksanakan berdasarkan pertimbangan keselamatan dan prosedur penguatkuasaan.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, penggunaan gari sebenarnya bergantung kepada tahap risiko keselamatan yang dinilai oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kebiasaannya gari hanya digunakan ketika proses permohonan reman bagi memastikan kawalan keselamatan terhadap individu yang ditahan.
“Apabila individu dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan, SPRM lazimnya tidak menggari mereka kecuali dalam keadaan tertentu contohnya melibatkan warga asing yang mempunyai risiko melarikan diri,” katanya temu bual bersama MACCfm di Putrajaya, semalam.
Wan Shaharuddin menjelaskan, pemakaian pakaian lokap berwarna oren pula mempunyai tujuan keselamatan dan pemantauan bukan sebagai satu bentuk penghinaan terhadap OKT.
“Warna terang itu memudahkan pengecaman sekiranya berlaku cubaan melarikan diri. Ia adalah langkah kawalan standard dan bukan bertujuan memalukan mana-mana pihak,” jelasnya.
Wan Shaharuddin menegaskan pihak pendakwaan sentiasa mengekalkan keseimbangan antara hak individu dan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang.
Ujarnya, setiap tindakan yang diambil adalah langkah berjaga-jaga dan bukannya hukuman awal terhadap tertuduh.
“Pada masa sama, maruah individu tetap dijaga. Setakat pengetahuan saya, pihak penguat kuasa tidak mendedahkan wajah secara sengaja dan individu juga tidak dihalang untuk memakai pelitup muka sekiranya mahu,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan proses semakan kertas siasatan yang diterima daripada SPRM sebelum membuat keputusan pendakwaan.
“Proses ini sebenarnya tidak mudah kerana keputusan yang dibuat memberi kesan besar kepada semua pihak.
“Secara peribadi, saya akan meletakkan diri saya dalam tiga perspektif iaitu sebagai suspek, sebagai mangsa, dan juga sebagai pegawai penguat kuasa. Kita perlu menilai secara seimbang,” ujarnya.
Tambahnya, setiap kesalahan mempunyai elemen tertentu, dan pihak pendakwaan menggunakan kaedah semakan berstruktur atau checklist untuk menilai kertas siasatan.
“Contohnya, bagi kes di bawah Seksyen 23 terdapat beberapa elemen yang perlu dibuktikan. Kami akan meneliti satu persatu.
“Adakah elemen pertama wujud? Adakah keterangan menyokong elemen kedua? Adakah elemen ketiga dipenuhi? Jika semua elemen disokong oleh bukti, barulah keputusan pendakwaan boleh dibuat dengan yakin,” jelasnya. – UTUSAN










