RAUB: Anak kepada mangsa tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat di sini, terbayang-bayang detik terakhir bersama ibu bapanya ketika mereka bertemu di bazar Ramadan, sehari sebelum kejadian yang meragut lima nyawa ahli keluarganya.
Ahmad Balia Murqam Mohd. Alawi, 15, yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Dong berkata, kali terakhir dia bertemu ibu bapanya adalah ketika mengambil juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Pekan Dong.
Bagaimanapun, katanya, ketika itu mereka tidak sempat berbual panjang dan bapanya memberinya bungkusan air untuk berbuka puasa.
“Saya ke bazar dengan cikgu. Ayah beri saya air untuk berbuka puasa dan emak pun ada. Ketika itu tidak nampak apa-apa perubahan, semuanya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raub di sini, hari ini.
Kebakaran kira-kira pukul 3.45 pagi itu meragut nyawa bapanya, Mohd. Alawi Muhammad, 56; ibunya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga adik beradiknya iaitu Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14 dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Seorang lagi kakaknya, Ruby Adalia Balqies, 19, yang merupakan Kolej Matrikulasi Gambang tidak berada di rumah ketika kejadian.
Menurut Ahmad Ahmad Balia Murqam, dalam pertemuan singkat tersebut, ibu bapanya tidak menyentuh mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaan keluarga mereka setiap tahun.
“Ayah dan mak pun tak sempat cerita pasal raya, pasal baju raya atau nak sambut raya dekat mana. Semua tak sempat,” ujarnya dengan nada sebak.
Sementara itu, Ruby Adalia Balgies berkata, sebagai anak sulung, dia bertekad memikul tanggungjawab menjaga adik lelakinya serta memastikan masa depan mereka tidak terjejas.
“Saya akan mengambil tanggungjawab menjaga adik lelaki dalam keluarga dan pastikan dia berjaya dalam pelajaran. Saya juga berhasrat untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi, iaitu Doktor Falsafah,” katanya. – UTUSAN











