PETALING JAYA: Terlalu awal untuk meletakkan harapan podium buat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dalam penampilan sulungnya selaku pesaing tetap pada perlumbaan kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Thailand, hujung minggu ini.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, Hakim Danish yang bernaung di bawah pasukan MSi Racing Team itu berada dalam perlumbaan berstandard tinggi dengan pesaing-pesaingnya bukanlah calang-calang pencabar.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Hakim Danish. Saya berharap dia akan memberikan sehabis baik pada penampilan pertama sebagai pelumba musim penuh di kelas Moto3.
“Saya percaya pengalaman tiga penampilannya sebelum ini dapat memberi gambaran awal tentang tekanan bersaing di pentas berprestij dunia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan SIC Racing, semalam.
Menurut beliau, sudah tiba masanya unuk Hakim Danish menterjemahkan segala pengalaman yang diraihnya ke arah kejayaan yang lebih baik dan pihaknya tidak akan meletakkan sasaran bagi mengelak sebarang tekanan terhadap anak muda itu.
Jelasnya, tiada sasaran spesifik buat pelumba berusia 18 tahun itu kerana tahap persaingan pelumba rookie dalam kelas Moto3 berada pada standard tertinggi.
“Sebagai contoh, Valentine Perrone (Red Bull KTM Tech3) yang pernah bersaing dengan Hakim Danish sebelum ini berjaya menaiki podium pada penampilan sulung tahun lalu.
“Kita harapkan perkara positif yang sama berlaku kepada Hakim Danish. Sasaran keseluruhan kami, kalau boleh, adalah untuk meraih minimum satu podium tahun ini,” ujarnya.
Bagi perlumbaan pembukaan di Buriram pula, kata Zulfahmi, pihaknya mahu melihat Hakim Danish bersaing secara kompetitif dan yakin potensi yang dimiliki anak muda tersebut mampu menjadi salah seorang pencabar utama.
Sementara itu, Hakim Danish pula berkata, dia berasa teruja menjelang GP Thailand dan status fizikal serta mental berada dalam keadaan terbaik selepas menamatkan sesi ujian rasmi di Portimao dan Jerez.
“Walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, saya yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada perlumbaan pembukaan di Thailand nanti.
“Saingan Moto3 sangat berbeza dari segi teknikal jentera dan pengurusan perlumbaan, tetapi, berbekalkan pengalaman yang ada, saya telah mengenal pasti aspek kritikal yang perlu dipertingkatkan, khususnya mencatat masa pada sesi kelayakan dan strategi pada hari perlumbaan,” katanya. – UTUSAN










