Mohd. Daud didakwa subahat berniaga sekuriti tanpa lesen

Mohd. Daud didakwa subahat berniaga sekuriti tanpa lesen

MOHD. DAUD BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tokoh kewa­ngan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.

Mohd. Daud, 62, yang merupakan bekas Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Kedah 2023 mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Daud selaku wakil syarikat Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT (AUF MBZ) berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar untuk berniaga dalam sekuriti.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023, di C6-1, Jalan Reef ½, Pusat Perniagaan Reef, Rawang, Gombak.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Perenggan 370(c) dan Subseksyen 367(1) Akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) Akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan kes.

Mohd. Daud adalah pengasas dan pengerusi eksekutif Amanie Group, dengan syarikat utamanya, Amanie Advisors, beroperasi di bandar-bandar raya di seluruh dunia sebagai firma penasihat yang pakar dalam kewangan Islam dan penyelesaian patuh syariah.

Beliau pernah mempengerusikan beberapa majlis penasihat syariah, termasuk di Permodalan Nasional Bhd (PNB). -utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×