PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai penjenamaan semula gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, Naib Presiden Pas itu dijangka berdepan cabaran sistemik untuk memecahkan sokongan berasaskan kaum yang membentuk pola pengundian negara.
Katanya, imej teknokrat sederhana yang dibawa Ahmad Samsuri memberi ruang kepada usaha menarik sokongan pengundi atas pagar serta bukan Melayu yang sebelum ini dilihat menjauhi PN.
“Saya yakin bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN merupakan langkah strategik bagi menjenamakan semula gabungan parti itu, namun saya juga menjangkakan beliau bakal berdepan dengan cabaran sistemik untuk memecah tembok sokongan berteraskan kaum.
“Walau bagaimanapun, saya melihat keupayaan beliau ini perlu bersandarkan fakta bahawa setakat PRU15, PN hanya memperoleh sekitar lima peratus undi Cina dan kurang 20 peratus undi India, satu angka yang sangat rapuh untuk membentuk kerajaan pusat.
“Meskipun imej profesional beliau di Terengganu memberi harapan kepada ramai pihak terutama golongan profesional dan penyokong tegar Pas, beliau tetap terbeban dengan persepsi ekstrem terhadap Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Pas akan menerajui PN selepas Naib Presiden mereka, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai pengerusi gabungan parti politik itu.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi siapakah individu paling layak mengetuai PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Syahruddin berkata, usaha menyelamatkan dan menyatukan semula komponen PN memerlukan lebih daripada sekadar pengukuhan dalaman kerana landskap politik Persekutuan menuntut kebolehan mengurus isu ekonomi makro serta dinamika politik Sabah dan Sarawak.
“Dakwaan Ahmad Samsuri Mokhtar mampu menyelamatkan PN meskipun tidak pernah teruji di peringkat Persekutuan setakat hari ini adalah satu pertaruhan berisiko tinggi yang menuntut lebih daripada sekadar taktik diplomasi dalam politik.
“Tanpa lonjakan drastik dalam sokongan merentas kaum, pelantikan beliau mungkin sekadar strategi kosmetik untuk menutup keretakan yang semakin parah dalam PN,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, pemilihan Ahmad Samsuri dilihat sebagai satu bentuk kompromi strategik Pas dalam usaha menyesuaikan pendekatan parti itu dengan realiti politik semasa.
Katanya, langkah tersebut juga bertujuan mengimbangi persepsi bahawa Bersatu lebih layak mengetuai gabungan kerana dianggap mempunyai keupayaan menyatukan pelbagai kaum berbanding Pas yang sering dikaitkan dengan naratif Melayu dan Islam.

“Walaupun yang ditonjolkan ialah Dr. Samsuri, pelantikan beliau sebenarnya merupakan satu bentuk kompromi Pas untuk menampilkan imej yang lebih sederhana dan profesional.
“Langkah ini mahu menunjukkan bahawa Pas bukan sahaja dipimpin oleh golongan ulama, tetapi turut mempunyai tokoh profesional yang boleh diketengahkan untuk menyatukan semua kaum di Malaysia.
“Namun, persepsi terhadap Pas tetap menjadi cabaran kerana Bersatu sering dilihat lebih sesuai untuk mengetuai atau menyatukan pelbagai kaum berbanding Pas yang kuat dengan naratif Melayu-Islam,” katanya. –utusan











