Mampukah Ahmad Samsuri perkukuhkan PN hadapi PRU16?

Mampukah Ahmad Samsuri perkukuhkan PN hadapi PRU16?

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuka lembaran baharu dalam percaturan politik pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ia hadir pada saat PN memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja berwibawa malah mampu menenangkan pergolakan dalaman yang kian meruncing.

Ahmad Samsuri dilihat sebagai figura yang membawa pendekatan lebih teknokrat dan berprofil sederhana berbanding gaya politik konfrontasi.

Rekod pentadbirannya di Te­rengganu sering dijadikan san­daran bahawa PN boleh di­pimpin dengan fokus tadbir urus dan pengurusan negeri yang lebih tersusun, sekali gus membina keyakinan pengundi.

Namun, cabaran yang menanti bukan kecil. Realiti politik PN hari ini dicorakkan oleh krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang masih belum menunjukkan tanda-tanda reda.

Pertikaian kepemimpinan, pemecatan wakil rakyat dan keresahan akar umbi telah menjejaskan persepsi kestabilan gabungan itu.

Pergelutan dalam Bersatu sudah pasti memberi kesan langsung kepada PN kerana parti itu merupakan komponen penting dalam pembahagian kerusi dan sokongan pengundi Melayu bandar serta separa bandar.

Tanpa penyelesaian menyeluruh, PN berisiko menghadapi masalah penyelarasan strategi dan jentera apabila tiba musim pilihan raya.

Dalam konteks ini, Ahmad Samsuri perlu bertindak sebagai pendamai dan pengimbang kuasa, memastikan konflik dalaman tidak berlarutan sehingga menjejaskan kesiapsiagaan PN menghadapi PRU16.

Jika gagal, ia mampu menyebabkan perpecahan undi yang merugikan gabungan.

Pada masa sama, kekuatan Pas sebagai parti paling teratur dalam PN memberi kelebihan tersendiri.

Jentera Pas yang kukuh di kawasan luar bandar terus menjadi tulang belakang sokongan gabungan itu, namun kekuatan ini sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan nasional.

Cabaran sebenar PN ialah me­nembusi kawasan bandar dan campuran yang lebih kompetitif. Di sinilah kepimpinan Ahmad Samsuri diuji, sama ada beliau mampu mengimbangi identiti politik Pas dengan mesej ekonomi dan kebajikan yang lebih inklusif serta pragmatik.

Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan tekanan ekonomi rakyat dijangka menjadi fokus utama pada PRU16.

Jika PN di bawah Ahmad Samsuri berjaya mengalihkan tumpuan daripada konflik dalaman kepada agenda rakyat, ia berpotensi memperbaiki imej gabungan sebagai alternatif yang serius kepada kerajaan sedia ada.

Pada masa yang sama, satu lagi cabaran buat Ahmad Samsuri adalah pendekatan golo­ngan bukan Melayu terhadap PN yang kini diketuai Pas.

Mungkin ada yang berfikiran Pas adalah parti rasis, ‘terlalu islamik’ di mana persepsi tersebut menimbulkan rasa takut, sekali gus PN tidak menjadi pilihan pengundi bukan Melayu.

Melihat pula dalam konteks politik gabungan, keabsahan arahan sering bergantung kepada kekuatan mandat dan hierarki.

Walaupun jawatan pengerusi PN memberi kuasa formal kepada Ahmad Samsuri, hakikat bahawa beliau bukan presiden Pas boleh mengehadkan pe­ngaruh sebenar, terutama apabila berdepan parti komponen yang sedang bergelut dengan krisis kepimpinan dan sensiti­viti dalaman.

Secara struktur dan psikologi politik, timbul tanda tanya sama ada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk akur sepenuhnya kepada keputusan dan hala tuju yang digerakkan oleh seorang pengerusi gabungan yang bukan datang daripada pimpinan tertinggi Pas.

Dalam keadaan ini, keupa­yaan Ahmad Samsuri sebagai pendamai dan pembina konsensus akan diuji. Beliau perlu mengimbangi hubungan antara Pas yang dominan de­ngan Bersatu yang masih mahu mengekalkan autonomi politiknya.

Dalam tempoh dua tahun terakhir ini menjelang PRU16, Ahmad Samsuri serta jentera PN perlu mencatur strategi dalam meraih undi bukan sahaja dari pengundi Melayu bandar dan luar bandar, malah sekurang-kurangnya 30 peratus undi bukan Melayu.

Jika berjaya, ia akan menjadi penanda aras kejayaan buat Ahmad Samsuri. Kejayaan itu bukan sahaja diukur melalui kesepaduan kepimpinan tertinggi, tetapi juga sejauh mana akar umbi merasakan PN kembali stabil dan diyakini.

Dalam hal ini, pelantikan Ahmad Samsuri membuka peluang baharu kepada PN untuk menyusun semula kekuatan menjelang PRU16. Namun peluang itu hanya boleh direalisasikan jika krisis dalaman, khususnya dalam Bersatu, ditangani dengan berkesan dan PN tampil dengan naratif yang lebih matang serta berorientasikan keperluan rakyat.

Tanpa pembaharuan itu, PN mungkin kekal kuat di kubu tradisi, tetapi rapuh dalam perebutan kuasa nasional. – utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×