PETALING JAYA: Hanya 150 lori bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza setiap hari, jauh di bawah keperluan sebenar sebanyak 600 lori bagi memenuhi keperluan asas penduduk Palestin.
Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Fouad Mabrouk Alqedra berkata, sekurang-kurangnya 600 lori diperlukan setiap hari bagi memastikan bekalan roti, tepung, daging, sayur-sayuran dan barangan asas lain dapat disalurkan secara mencukupi.
Katanya, jumlah lori sebanyak 150 sehari itu hanya memenuhi sebahagian kecil keperluan, termasuk barangan bukan makanan seperti keperluan kebersihan dan lampin bayi.
“Jumlah bantuan yang masuk masih jauh daripada keperluan harian. Banyak keluarga bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan menghadapi kesukaran mendapatkan makanan asas.
“Ramadan kali ini bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan bertahan hidup. Ramai terpaksa berbuka puasa dalam khemah atau bangunan rosak. Pergerakan terhad kerana risiko serangan dan aktiviti solat berjemaah serta kunjungan sosial hampir mustahil,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jehad Fouad berkata, lebih 75 peratus penduduk Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan, manakala ramai keluarga tidak mampu menyediakan hidangan berbuka dan sahur sepanjang Ramadan.
Beliau memaklumkan bahawa nutrisi antara kanak-kanak dan golongan rentan semakin meningkat akibat ketiadaan pasaran tempatan dengan barangan terhad dan harga tinggi berbanding pendapatan isi rumah.
Katanya, Ramadan kali ini merupakan yang ketiga berturut-turut disambut rakyat Palestin di Gaza di tengah perang yang telah meragut lebih 72,000 nyawa sejak Oktober 2023, termasuk lebih 21,000 kanak-kanak.
“Jumlah bantuan yang tiba tidak mencukupi untuk menampung defisit dua setengah tahun terkumpul sejak 2023. Keadaan ini memberi impak langsung kepada sambutan Ramadan, yang memerlukan makanan asas dan peluang berkumpul bersama keluarga.
“Solidariti global adalah kunci untuk mengekalkan usaha kemanusiaan dan memberi tekanan politik kepada penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya. – UTUSAN











