Sarjit pertaruh Hafizuddin elak gawang bocor

Sarjit pertaruh Hafizuddin elak gawang bocor

Pemain hoki kebangsaan menjalani latihan penyesuaian cuaca dan turf di Stadium Suez Canal Authority, Ismailia, Mesir, kelmarin. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh tidak berselindung meletakkan harapan tinggi kepada penjaga gol utama, Hafizuddin Othman bagi mengemudi Speedy Tigers dalam misi getir kelayakan Piala Dunia 2026 di Mesir.

Menurutnya, keupayaan benteng terakhir negara itu mampu menjadi pemisah antara kejayaan dan kekecewaan ketika skuad negara memburu slot ke pentas dunia secara merit.

“Saya mengharapkan Hafizuddin dapat tampilkan persembahan baik. Kalau penjaga gol cemerlang maka kami mampu ke final. Saya harap kedua-dua penjaga gol negara saling bersaing sengit untuk merebut tempat,” kata Sarjit.

Skuad Malaysia berlepas dengan tekad baharu dan azam besar untuk menamatkan penantian ke pentas tertinggi hoki dunia, sambil membawa misi mengembalikan reputasi negara di persada antarabangsa.

Sebagai persiapan terakhir, dua aksi persahabatan menentang tuan rumah dan Jepun diatur bagi memastikan rentak permainan serta keserasian berada pada tahap terbaik sebelum saingan sebenar membuka tirai.

Sementara itu, Hafizuddin menjadikan pengalaman pahit tewas besar kepada Belgium dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 sebagai pengajaran berharga untuk memperkemaskan benteng pertahanan pasukan.

“Kami lebih (memberi) fokus kepada persiapan pukulan sudut penalti di kawasan A dan D kerana Pakistan dan China memiliki ‘flicker’ yang bagus. Ketika dalam PSAS, kami dapat belajar untuk kurangkan defisit gol dan mengekalkan tahap konsistensi ketika berdepan Belgium dan New Zealand,” kata Hafizuddin.

Skuad negara dijadual menentang Mesir hari ini sebelum bertemu Jepun pada Khamis sebagai aksi pemanas badan, manakala dalam Kumpulan B mereka bakal membuka kempen menentang Austria pada 1 Mac diikuti Pakistan sehari kemudian dan China pada 4 Mac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×