MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Aisy Nur Dareesa Mohd. Sahril Azuan memerlukan pemindahan hati dengan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Ibunya, Anisah Ab. Rahim, 33, berkata, Aisy disahkan menghidap Alagille Syndrome sejak dilahirkan, iaitu penyakit genetik yang menyebabkan kegagalan fungsi hati serta komplikasi serius pada beberapa organ lain.
Menurutnya, keadaan kesihatan anak bongsunya itu dilaporkan semakin merosot dan pakar perubatan mengesahkan bahawa pemindahan hati tidak boleh ditangguhkan sekiranya nyawanya mahu diselamatkan.
“Doktor memaklumkan keadaan Aisy semakin merosot dan pemindahan hati tidak boleh ditangguhkan sekiranya nyawanya mahu diselamatkan.
“Ketika ini kami sedang membuka tabung dana sebanyak RM185,000 dan kutipan telah bermula sejak seminggu lalu bagi menampung kos pembedahan dan rawatan di China,” katanya ketika ditemui ketika lawatan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Bencana di sini, semalam.
Anisah berkata, proses pembedahan pemindahan hati itu dijadual dilakukan di Hospital Renji, China dengan anggaran kos keseluruhan rawatan sekitar RM185,000 termasuk kos pembedahan, rawatan susulan dan perbelanjaan berkaitan.
Beliau yang bekerja sebagai kakitangan di GiatMara hanya memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan, jumlah yang jauh daripada mencukupi untuk menampung kos rawatan anaknya yang berpanjangan.
Sementara itu, suaminya pula bekerja sebagai pemandu bas di Shah Alam, Selangor memaksa beliau tinggal berjauhan dan hanya mampu pulang ke Melaka sebulan sekali demi mencari rezeki untuk keluarga.
Katanya, tekanan kos perubatan yang semakin meningkat turut memberi kesan besar kepada kehidupan seharian keluarga berkenaan apabila mereka terpaksa berpindah keluar dari rumah kerana tidak lagi mampu membayar sewa bulanan.
“Saya tidak minta banyak, cukuplah sekadar doa dan bantuan daripada rakyat Malaysia supaya anak saya diberi peluang untuk terus hidup. Dulu orang anggap penyakit ini jarang berlaku, tetapi bila kami berkumpul dalam satu komuniti, rupanya ramai juga yang senasib,” katanya.
Keluarga itu kini menumpang di rumah kakak Anisah yang kosong bagi memastikan setiap perbelanjaan dapat diminimumkan dan setiap ringgit disalurkan sepenuhnya untuk rawatan Aisy.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu rawatan Aisy boleh menyalurkannya terus ke akaun Bank Islam 05021020562854 atas nama ibunya, Anisah Ab. Rahim.-UTUSAN











