KUALA PILAH: Tiada sebarang pergaduhan didengar atau dilihat penduduk Kampung Segineh, Inas di sini, sebelum insiden seorang wanita warga emas cedera di leher dipercayai ditikam anak perempuannya, kelmarin.
Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Su berkata, sebelum waktu berbuka puasa, dia hanya terdengar suara jiran lelaki yang menjerit meminta pintu rumah dibuka.
“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa, cuma dengar suara orang menjerit suruh buka pintu.
“Apabila hendak ke sana untuk melihat apa yang berlaku, saya nampak jiran lelaki berkenaan sedang menenangkan suspek sementara menunggu polis tiba,” katanya ketika ditemui.
Su berkata, sepanjang mengenali suspek, wanita berusia lingkungan 50-an itu merupakan seorang yang baik dan suka menolong orang.
Suspek direman tujuh hari sehingga 27 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
Beliau berkata, suspek ditahan di wad HTAN bagi pemeriksaan lanjut.
Katanya, mangsa berusia lingkungan 80-an kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar.
“Setakat ini kita belum dapat merakam percakapan suspek kerana keadaannya tidak stabil daripada segi mental dan sukar memberikan kerjasama.
“Untuk merakam keterangan mangsa juga belum dapat dilakukan kerana keadaannya tidak mengizinkan. Kita sedang menunggu ahli keluarga terdekat tiba bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











