Nekbat hanya muncul ketika Ramadan

Nekbat hanya muncul ketika Ramadan

NORAZAN Ariffin menjual nekbat di Pasar Batu Enam, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kuih nekbat sentiasa dinanti-nantikan penggemarnya kerana ia hanya muncul setahun sekali iaitu ketika Ramadan sekali gus menjadikannya juadah istimewa berbuka puasa di Terengganu.

Peniaga kuih itu, Norazan Ariffin di Pasar Batu Enam di sini berkata, nekbat adalah kuih tradisional yang terkenal di negeri ini dan sering dikaitkan dengan hidangan pencuci mulut ketika berbuka puasa.

Katanya, dia menjual nekbat beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan kerana pelanggan setia mencarinya lebih awal.

“Biasanya beberapa hari sebelum Ramadan, pelanggan sudah bertanya dan membuat tempahan. Harga dijual RM5 bagi 10 biji. Nekbat memang sinonim dengan Ramadan, sebab itu ia hanya dijual pada bulan puasa,” katanya ketika ditemui di Pasar Batu Enam.

Norazan berkata, kuih ini diperbuat daripada adunan telur dan tepung, kemudian dibakar sebelum dimasak dalam air gula yang dimasak bersama daun pandan bagi menambah aroma.

“Terdapat dua jenis nekbat yang dijual iaitu nekbat beras dan gandum. Nekbat beras lebih mendapat sambutan kerana teksturnya lebih lembut serta mudah menyerap air gula.

“Harga juga berpatutan dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Ada yang beli untuk makan sendiri dan ada yang tempah dalam jumlah banyak untuk diagihkan kepada keluarga,” katanya.

Menurut wanita itu, permintaan lazimnya meningkat pada minggu pertama dan minggu terakhir Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×