PASIR SALAK: Buah kabung atau dikenali sebagai buah kantor atau kantau di Perak menjadi pencuci mulut popular sepanjang Ramadan.
Pengusaha buah kabung biasanya terdapat di kawasan Perak Tengah dan hanya terdapat semasa bulan puasa sahaja.
Ia dimakan bersama air gula dan dimasak bersama daun pandan menjadi pilihan ramai di bulan puasa.
Pengusahanya di Kampung Kepayang di Kampung Gajah di sini, Abu Bakar Zainal Abidin, 42, berkata, buah kabung merupakan makanan tradisi semasa bulan puasa yang mendapat permintaan tinggi sehinggakan dia terpaksa menolak banyak tempahan pelanggan baru.
Dia mengusahakan buah kabung bersama kakaknya, Halimah Zainal Abidin ,55, yang bersama-sama mencari buah kabung di dalam hutan atau kampung hingga tiga atau lima tan untuk diproses sebelum dijual.
“Sebelum bulan puasa lagi kami sudah terima tempahan daripada pelanggan tetap dari Teluk Intan, Perak Tengah dan sekitar kawasan ini. Tempahan memang tinggi hingga tidak memang tangan untuk memprosesnya,” katanya.
Abu Bakar berkata, sudah lima hari mereka memproses dan menjual buah kabung pada harga RM4 satu bekas.
Katanya, untuk jualan kilogram, buah kabung yang siap diproses dijual pada harga RM17 sekilogram, sama seperti sebelum ini.
“Pokok kabung sudah kurang akibat banyak ditebang. Sukar hendak jumpa sekarang tapi ia menjadi sumber pendapatan keluarga kami terpaksa cari juga,” katanya.
Menurutnya, selepas buah kantor diambil dari pokok, buahnya perlu dipisahkan daripada tandan, seterusnya merebus buah, mengeluarkan isi dan dimasak, proses yang memakan masa selama dua jam.
“Selepas itu, buah kantor dikorek isinya, direndam dengan air biasa selama dua, tiga hari sebelum boleh dijual kepada pelanggan,” katanya.
Kata Abu Bakar, dalam sehari mereka dapat menghasilkan antara 15 hingga 25 kilogram buah kantor yang dijual di tepi Jalan di Kampung Kepayang di Kampung Gajah. – utusan










