PETALING JAYA: Gencatan senjata yang dimeterai pada pertengahan Januari lalu dilihat gagal apabila Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza dan tidak mematuhi komitmen kemasukan bantuan kemanusiaan seperti yang dipersetujui.
Pengerusi Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, serangan dilaporkan masih berlaku hampir setiap hari walaupun perjanjian itu sepatutnya menghentikan sepenuhnya permusuhan.
“Kalau gencatan senjata benar-benar dihormati, tidak sepatutnya ada lagi serangan. Tetapi realitinya rakyat Gaza masih berdepan ancaman.
“Bukan itu sahaja, setakat ini kira-kira 500 orang telah terkorban disebabkan pelanggaran gencatan senjata tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai bantuan, setakat ini hanya 200 lori bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza berbanding 600 seperti yang dijanjikan.
“Itu hanya satu pertiga daripada yang dipersetujui. Dalam keadaan dua juta penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar, kekurangan ini memberi kesan besar kepada bekalan makanan dan keperluan asas,” jelasnya.
Menurut Jismi, situasi menjadi lebih teruk apabila Gaza juga tidak mempunyai keupayaan memproses atau menghasilkan makanan sendiri akibat kemusnahan infrastruktur, menyebabkan hanya kira-kira satu pertiga keperluan makanan dapat dipenuhi setakat ini.
“Bekalan air bersih semakin kritikal apabila sistem kumbahan yang rosak mencemarkan sumber air penduduk.
“Air terpaksa dicatu. Jika hujan, mereka akan tadah dan simpan. Dalam masa sama, pencemaran ini meningkatkan risiko penyakit seperti kolera, disentri, tifoid, leptospirosis serta penyakit kulit dan mata,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri tidak dapat menggambarkan betapa sukarnya suasana yang terpaksa dihadapi penduduk Gaza terutama dalam menjalani ibadat puasa Ramadan.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan ibadah dan ketenangan, tetapi bagi rakyat Gaza ia datang dalam keadaan serangan masih berlaku, makanan tidak mencukupi dan air bersih pula terhad.
“Bayangkan mereka berpuasa dalam keadaan bekalan makanan hanya satu pertiga daripada keperluan, bantuan pula disekat dan sumber air tercemar. Ini bukan lagi soal keselesaan, ini soal kelangsungan hidup.
“Dalam keadaan umat Islam lain membuat persiapan menyambut Ramadan, rakyat Gaza masih memikirkan bagaimana mahu mendapatkan makanan untuk berbuka dan air bersih untuk diminum,” katanya. – UTUSAN











