PETALING JAYA: Pengurusan Selangor FC tidak berdiam diri apabila bertindak meminta penjelasan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan mutu pengadilan yang dipersoalkan dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC.
Walaupun mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Sang Rusa, tumpuan peminat selepas perlawanan lebih terarah kepada beberapa keputusan kontroversi, termasuk dua jaringan Merah Kuning yang dibatalkan.
Beberapa keping gambar insiden perlawanan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu terus menyemarakkan perdebatan dalam kalangan penyokong, malah ada yang berpendapat Selangor mampu mencatat kemenangan lebih besar sekiranya keputusan pengadil lebih tepat.
Dalam kenyataan rasmi, Selangor menegaskan, pihak kelab menggunakan saluran sah yang diperuntukkan FAM bagi mendapatkan penjelasan.
“Setelah menjalankan penilaian penuh secara dalaman, pihak kelab telah memohon penjelasan daripada FAM mengenai beberapa keputusan pengadil dalam perlawanan tersebut, khususnya dua gol yang telah dibatalkan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Selangor menyatakan keyakinan bahawa badan induk bola sepak negara itu akan meneliti perkara berkenaan secara adil dan profesional.
“Kelab percaya FAM memandang serius isu ini dan akan menilai semula keputusan-keputusan yang dibuat serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat kesilapan,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam nada tegas, pengurusan Merah Kuning turut menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi berlebihan dan menghormati proses sedia ada.
Kemenangan 5-1 itu menyaksikan Selangor mara ke separuh akhir dengan agregat 6-1, namun perdebatan mengenai mutu pengadilan jelas menjadi ‘perlawanan kedua’ yang masih berlanjutan di luar padang. – UTUSAN










