Hakim Danish 'terganggu' di Portugal  

Hakim Danish ‘terganggu’ di Portugal   

Hakim Danish menguji jentera KTM dalam trek basah pada sesi ujian rasmi musim sejuk Moto3 di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, Portugal, kelmarin. - Ihsan MSI Racing Team
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berdepan cuaca buruk sepanjang sesi ujian rasmi musim sejuk pertamanya pada Kejuaraan Motosikal Dunia di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, Portugal, kelmarin.

Bernaung di bawah pasukan Sepanyol, MSI Racing Team, anak muda berasal dari Terengganu itu, bagaimanapun, masih mampu berada di kedudukan ke-11 dengan catatan masa sepusingan 2 minit 03.463 saat (s).

Hakim Danish yang memang kurang menggemari beraksi di atas litar basah, tidak menyembunyikan rasa kecewanya kerana tidak mampu memaksimumkan sesi ujian tersebut selepas hujan berpanjangan di Portimao.

“Sesi ujian berlangsung dalam keadaan hujan, jadi tidak banyak yang dapat dilakukan. Namun, saya sempat mencuba beberapa pelarasan baharu khusus untuk keadaan litar basah,” katanya yang bakal memacu jentera KTM pada musim sulungnya dalam saingan kelas Moto3 selaku pelumba tetap.

Menurut Hakim Danish, secara keseluruhan, dia masih belum dapat mempamerkan kemampuan sebenarnya secara total dan amat berharap dapat berbuat demikian pada sesi ujian musim sejuk di Litar Jerez, Sepanyol nanti.

Katanya, sesi ujian tersebut akan berlangsung pada 14 dan 15 Februari ini dan jika cuaca baik, dia yakin dapat mempamerkan prestasi yang lebih bagus.

“Saya harap sesi ujian di Jerez akan berlangsung dalam keadaan cuaca yang lebih baik supaya kami dapat memaksimumkan persiapan menjelang pusingan pertama pada hujung bulan ini,” ujarnya.

Musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia bakal membuka tirai pada Grand Prix Thailand di Litar Antarabangsa Buriram yang dijadualkan berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×