KLANG: Petaling merupakan daerah penerima bantuan bagi keluarga asnaf, fakir dan mualaf yang tertinggi melibatkan agihan zakat sebanyak RM6.79 juta kepada 14,778 keluarga.
Turut berada dalam tiga kedudukan tertinggi adalah, Klang dan Hulu Langat apabila masing-masing terdapat 13,167 dan 12,212 keluarga dalam golongan itu yang akan menerima agihan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM6.04 juta dan RM5.66 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, sebanyak RM35.98 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk diagihkan kepada 78,656 keluarga asnaf, fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri.
Katanya, jumlah tersebut seramai 27,815 ketua keluarga fakir, 45,943 ketua keluarga miskin dan 4,898 orang asnaf mualaf menerima manfaat bantuan persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.
“Ia melibatkan agihan zakat sebanyak RM21.24 juta yang disalurkan kepada golongan miskin, RM13.19 juta kepada golongan fakir dan RM1.56 juta kepada asnaf mualaf.
“Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Bantuan ini akan disalurkan pada 1 Ramadan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Simbolik Agihan Bantuan Ramadan dan Syawal Tahun 2026, hari ini.
Mohd. Khaidzi berkata, LZS menjangkakan peningkatan bayaran Zakat Fitrah sebanyak lima peratus kutipan pada tahun ini pada kadar yang akan diumumkan nanti.
Sasaran itu diletakkan selepas kutipan diperoleh menunjukkan peningkatan bagi tahun 2024 sebanyak RM41 juta dan 2025 (RM43 juta).
“Kita melantik lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran urusan pembayaran zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.
“Umat Islam di Selangor amat digalakkan membayar zakat fitrah lebih awal bagi memudahkan agihan zakat kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Katanya lagi, PAF di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak akan menggunakan sistem aplikasi (Mobile App) sepenuhnya dalam urusan kutipan zakat fitrah.
Tambahnya, empat daerah lain iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat masih menggunakan buku kupon fitrah selain turut menerima pembayaran melalui sistem aplikasi bagi memastikan proses kutipan berjalan lancar dan teratur. – UTUSAN










