KUALA LUMPUR: Mekanisme penyasaran Budi Madani RON95 (BUDI95) yang membolehkan rakyat menikmati subsidi petrol tanpa mengambil kira tahap pendapatan adalah kaedah penyelesaian terbaik bagi memastikan subsidi dinikmati majoriti rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk cadangan pengapungan harga serta menghadkan subsidi RON95 kepada isi rumah berpendapatan bawah RM13,000 sebulan.
Katanya, sekiranya had pendapatan itu digunakan, terlalu ramai rakyat biasa yang bekerja akan terjejas dan kerajaan perlu membelanjakan dana tambahan untuk menggantikan golongan yang dikecualikan.
“Cadangan awal daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) supaya menetapkan pendapatan RM13,000 ke bawah bagi melayakkan mereka dikecualikan atau tak dinaikkan harga untuk petrol RON95 tidak praktikal dan membebankan.
“Perkiraan RM13,000 itu dilihat terlalu rendah, jadi Jemaah Menteri ketika itu menolak cadangan dengan alasan jika dilaksanakan, berisiko mengundang masalahnya mengambil kira terlalu ramai penjawat awam, petani, peladang yang pendapatannya di bawah paras RM13,000.
“Sekiranya had pendapatan RM25,000 ditetapkan, hanya kira-kira dua peratus pengguna berpendapatan tinggi akan terlibat dan langkah itu disifatkan tidak berbaloi berikutan kos pentadbiran dan penguatkuasaan yang tinggi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin mengetahui adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan budi kepada golongan yang benar benar layak selaras matlamat untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, subsidi bahan api berbeza secara asas daripada subsidi elektrik yang lebih tertumpu kepada pengguna komersial dan industri.
Katanya, berdasarkan pelaksanaan subsidi petrol, kerajaan berjaya melindungi 85 peratus rakyat selain mencatatkan penjimatan sebanyak RM6 bilion.
“Bagi subsidi diesel pula, penjimatan mencecah RM5 bilion dengan kadar subsidi RM0.95 seliter dan harga ditetapkan pada RM1.99 seliter.
“Dalam kes bahan api, hampir semua rakyat terjejas dan sebarang kenaikan mendadak akan terus menjejaskan kos sara hidup.
“Oleh itu, kerajaan memilih pendekatan berfasa dalam reformasi subsidi bertujuan mengurangkan ketirisan sambil mengekalkan kestabilan harga dan keyakinan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, selepas pelaksanaan BUDI95, ketirisan secara keseluruhan berjaya dikurangkan dengan ketara.
“Bagaimanapun, kita (kerajaan) mengakui masih terdapat beberapa kes terpencil yang telah dan sedang dikenal pasti.
“Masih ada kes dikesan di beberapa stesen minyak di kawasan sempadan termasuk di Rantau Panjang, Tawau dan Perlis menunjukkan corak penggunaan mencurigakan.
“Itu tiga kawasan mencatat ketirisan tertinggi dan pengawasan serta penguatkuasaan kini lebih tertumpu di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kehilangan hasil,” katanya.-UTUSAN










