KANAK-KANAK boleh mula didedahkan kepada asas membaca dan menulis seawal umur empat tahun, namun pendekatan yang digunakan mesti selari dengan tahap perkembangan mereka.
Pada usia ini, fokus utama bukan untuk mengejar kebolehan membaca atau menulis secara formal tetapi membina minat, keyakinan dan sikap positif terhadap pembelajaran.
Pendedahan yang wajar merangkumi aktiviti ringan seperti mengenal bunyi huruf, membiasakan anak dengan buku dan penceritaan, mengenal perkataan mudah di persekitaran serta mengukuhkan kemahiran motor halus melalui aktiviti melukis, mewarna, mengoyak dan menampal.
Asas-asas ini penting sebelum kanak-kanak benar-benar bersedia untuk pembelajaran formal. Prinsipnya mudah, pendedahan awal dibolehkan tetapi tidak boleh keras dan menekan.
Perbezaan utama antara kanak-kanak yang memulakan prasekolah pada usia empat hingga lima tahun berbanding enam tahun terletak pada tahap kesediaan dan cara mereka menyesuaikan diri.
Kanak-kanak yang mula lebih awal biasanya mendapat kelebihan dari segi pendedahan kepada rutin, aktiviti literasi santai dan kemahiran sosial seperti berkawan dan berkongsi, terutamanya jika pembelajaran berasaskan permainan.
Namun kelebihan ini tidak automatik jika pendekatan terlalu akademik dan formal kerana boleh menyebabkan anak cepat bosan dan hilang minat. Sebaliknya, kanak-kanak yang mula pada usia enam tahun selalunya lebih matang dari segi fokus, emosi dan kemahiran motor halus, sekali gus lebih bersedia mengikuti struktur pembelajaran formal.
Isu sebenar bukan sama ada pembelajaran bermula awal atau lewat tetapi sejauh mana kesediaan anak dan kesesuaian pendekatan yang digunakan.
Pembelajaran terlalu awal yang bersifat akademik dan rigid boleh membawa risiko tekanan, kebosanan dan kehilangan minat. Sebaliknya, pendekatan santai berasaskan permainan, penceritaan atau aktiviti bahasa harian membantu membina keyakinan dan kemahiran asas tanpa tekanan.
Ibu bapa berperanan besar dalam membina suasana literasi di rumah melalui pembacaan bersama, perbualan bermakna, permainan bunyi huruf serta aktiviti motor halus supaya anak memasuki prasekolah dengan yakin dan gembira.
Peranan ibu bapa tidak terhad kepada membaca buku semata-mata. Amalan seperti mewujudkan rutin harian yang konsisten, berbual menggunakan ayat lengkap dan kosa kata pelbagai, serta membantu anak menyedari kewujudan perkataan dalam kehidupan seharian melalui label, papan tanda mahupun resit amat penting.
Kemahiran menulis pula boleh diperkukuh melalui aktiviti pramenulis seperti melukis garis, mewarna dan aktiviti yang menguatkan tangan serta jari. Amalan yang konsisten dan menyeronokkan ini membantu anak lebih bersedia walaupun belum membaca dengan lancar.
Dalam konteks pendidikan negara, isu persediaan literasi awal perlu dilihat secara realistik. Kementerian Pendidikan sendiri pernah memaklumkan sebahagian murid Tahun 1 masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas beberapa bulan persekolahan.
Ini menunjukkan kepentingan asas literasi awal, namun ia mesti dibina dengan pendekatan yang sesuai perkembangan umur.

UTAMAKAN KESEDIAAN EMOSI, PSIKOLOGI KEPERLUAN KHAS
Dalam masa sama, perbincangan mengenai persekolahan dua sesi dan kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun perlu memberi keutamaan kepada kesediaan emosi dan psikologi anak, bukan memaksa pembelajaran formal terlalu awal.
Dasar kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun juga perlu dibaca bersama realiti kanak-kanak berkeperluan khas. Mulai 2027, pendaftaran Tahun 1 dibuka secara sukarela kepada kohort enam tahun tanpa ujian saringan dan ibu bapa digalakkan membuat keputusan berdasarkan kesediaan anak.
Pelaksanaan ini perlu dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan lambakan murid dan memastikan emosi serta psikologi murid tidak terjejas.
Kebimbangan terhadap jurang pembelajaran bagi murid berkeperluan khas wajar diberi perhatian awal kerana sokongan yang tepat sangat menentukan perkembangan mereka.
Kerajaan perlu menggunakan pendekatan berasaskan data dan kesiapsiagaan sebenar sekolah, termasuk pemetaan kapasiti bilik darjah, prasarana dan bilangan guru.
Bagi murid berkeperluan khas, rantaian sokongan perlu diperkukuh sejak prasekolah lagi melalui laluan pendidikan khas yang tersedia seperti Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif, dengan mekanisme peralihan yang jelas ke Tahun 1.
Risiko jurang pembelajaran boleh menjadi ketara jika sokongan tidak diperkukuh sejak awal kerana ramai murid berkeperluan khas memerlukan intervensi awal yang konsisten, pelan pembelajaran individu dan sokongan terapi sebelum bersedia memasuki persekitaran akademik yang lebih berstruktur.
Pada masa sama, sistem arus perdana sendiri masih berdepan cabaran penguasaan asas. Jika kohort enam tahun ditambah tanpa pengukuhan sokongan, murid berkeperluan khas berisiko ketinggalan manakala guru pula berdepan beban tambahan.
Dari segi fasiliti dan tenaga pengajar, pelaksanaan menyeluruh tanpa penambahan kapasiti berisiko menimbulkan kesesakan, memandangkan kekurangan guru pendidikan khas masih diakui.
Untuk memastikan murid berkeperluan khas tidak tercicir, maka saringan perkembangan perlu diperkukuh di peringkat prasekolah, mekanisme sokongan sebenar di sekolah perlu disediakan dan pelaksanaan dasar mesti fleksibel serta berpaksikan kesediaan murid.
Kesimpulannya, kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun boleh dilaksanakan, namun mesti dilakukan secara berperingkat, berasaskan data dan tidak mengorbankan murid berkeperluan khas.
Pendidikan awal bukan soal mempercepatkan tetapi memastikan setiap anak masuk ke alam persekolahan dengan emosi stabil, sokongan mencukupi dan peluang yang adil untuk berkembang.-UTUSAN
DR. Mohd. Zulfakar Mohd. Nawi ialah Pensyarah Kanan Jabatan Ikhtisas Pendidikan dan Siswazah, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
DR. Zanariah Ahmad ialah Pensyarah Jabatan Pendidikan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










