LONDON: Bos Formula Satu (F1) Mercedes, Toto Wolff mengakui George Russell layak dianggap sebagai calon pilihan untuk memenangi kejuaraan dunia musim ini walaupun pasukan itu sendiri masih belum membuktikan keupayaannya.
Perubahan besar peraturan bagi musim 2026 dijangka merombak semula susunan daya saing F1, walaupun empat pasukan teratas iaitu McLaren, Red Bull, Mercedes dan Ferrari setakat ini masih dilihat sebagai penanda aras.
“Sentiasa menyenangkan apabila pemandu anda menjadi pilihan utama pembuat taruhan dan saya rasa dia memang layak kerana dia adalah salah seorang yang terbaik.
“Dia telah menunjukkan kepada kami di mana tahap prestasi kereta itu berada dan secara keseluruhan dia lebih daripada cemerlang untuk kami.
“Tetapi pada masa yang sama, selalunya pemandu terbaik dan kereta terbaik yang akan menang dan kami masih belum membuktikan bahawa kami mempunyai pakej yang cukup bagus.
“Kami belum lagi diuji dalam keadaan sebenar di Bahrain dengan permukaan trek yang kasar, yang memang sentiasa mencabar untuk kami.
“Jadi, saya harap pembuat taruhan itu betul. Tetapi saya hanya akan mempercayainya apabila kami menunjukkan prestasi pasukan yang mengesahkannya,” katanya.
Wolff turut berkata, Andrea Kimi Antonelli berada di landasan mengikut perancangan pasukan untuk pelumba itu sejak tahun lalu namun merasakan tidak adil untuk menjangkakan dia mampu menyaingi Russell dalam perebutan kejuaraan. – AGENSI/UTUSAN










