Pas cadang kajian menyeluruh sistem UEC

Pas cadang kajian menyeluruh sistem UEC

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya satu kajian menyeluruh terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kedudukan dalam Perlembagaan serta kesan terhadap dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli akademik berpengalaman.

Beliau berkata, kajian tersebut boleh dilaksanakan oleh mana-mana universiti dengan penglibatan ahli akademik yang diiktiraf dalam bidang berkaitan dan bukan oleh parti politik.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kata kajian untuk buat pilihan raya Datuk Bandar akan dilaksanakan oleh ahli akademik dan bukannya DAP, apa nak takut katanya.

“Jika begitu, saya nak cadangkan kajian menyeluruh terhadap sistem UEC, kedudukannya dalam perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli-ahli akademik berpengalaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, mana-mana universiti boleh dipilih untuk melaksanakan kajian tersebut melibatkan ahli akademik yang diiktiraf dalam bidang berkaitan.

“Bukan parti politik buat kajian ini, apa nak takut kan? Realitinya bukan isu kajian, isunya ialah kecenderungan politik yang telah diketahui sejak lama,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebarang keputusan berkait cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya akan diputuskan selepas hasil kajian diperoleh daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian tersebut sedang dijalankan bagi menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebelum ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×