DAP berasa kebal kerana Kerajaan Perpaduan di bawah telunjuk mereka - Armada

DAP berasa kebal kerana Kerajaan Perpaduan di bawah telunjuk mereka – Armada

ADUN Digantung
MUHAMMAD HILMAN IDHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan biadap Pengerusi Biro Disiplin DAP, Tony Pua terhadap Institusi Raja didakwa disebabkan parti itu berasa kebal kerana semua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO berada di bawah telunjuknya.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya mengecam keras kenyataan biadap Tony Pua terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, isu kebiadapan dan keceluparan pimpinan DAP semakin berleluasa ketika ini dan beliau yakin kenyataan dibuat dengan sengaja untuk meneruskan polemik dan krisis biarpun disedari boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Armada yakin, DAP akan terus menggasak dan memperlekeh institusi Raja Berperlembagaan kerana mereka berasa kebal. Ini kerana Kerajaan Perpaduan – Madani kini di bawah telunjuk DAP.

“Sama ada PKR, Amanah termasuk UMNO, semuanya di bawah telunjuk DAP. Tanpa DAP, mereka tidak mungkin berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, pihaknya juga percaya tidak ada pemimpin dalam kerajaan masa ini yang berani menghentikan kebiadapan yang sedang dilakukan DAP.

Katanya, sekali pun UMNO dilihat cuba melawan dan mencabar DAP, tapi itu hanyalah hipokrasi mereka.

“Di Selangor, UMNO ikut Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam, tapi dua ADUN UMNO menikus dalam Dewan Undangan Negeri dan tidak berani menegur perbahasan biadap ADUN DAP.

“UMNO malah turut bersekongkol untuk menolak usul supaya ADUN Seri Kembangan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Armada juga percaya DAP sedang rancak melaksanakan agenda mereka apabila minggu lalu, parti itu berjaya ‘menunjuk’ Jemaah Menteri untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) biarpun ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, UMNO pula menjadikan tahfiz sebagai perisai mempertahankan UEC.

“Justeru, DAP semakin rancak dan berani kerana ketika ini kerana pelbagai agenda mereka berjaya direalisasikan. DAP sedang berada di puncak kekuasaan.

“Mereka akan terus mencabar institusi Raja Berperlembagaan dan meneruskan polemik ini. Mengapa, kerana agenda DAP seterusnya adalah mengurangkan kuasa Raja-Raja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN