PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sering mengubah nada dan pendirian politiknya mengikut perubahan musim pilihan raya.
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, bahasa politik Anwar selepas pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu lebih menjurus kepada usaha memenuhi sentimen masyarakat majoriti Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan itu didakwa berubah apabila negara semakin menghampiri pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang.
“Ketika pilihan raya semakin hampir, Anwar tiba-tiba menjadi pengagum kepada sifat masyarakat yang berbilang etnik dan agama.
“Beliau kini tidak lupa mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kepelbagaian merupakan kekuatan negara dan tanpa perpaduan antara kaum, negara tidak mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramasamy berkata, perubahan itu berlaku kerana Anwar menyedari sokongan pengundi bukan Melayu penting dalam menentukan keputusan pilihan raya serta peluangnya untuk terus menjadi Perdana Menteri.
Katanya, Anwar sebelum ini mengambil beberapa pendirian yang dilihat kurang memenuhi kehendak masyarakat bukan Melayu, termasuk berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan isu rumah ibadat Hindu.
Beliau berkata, Anwar juga lebih cenderung kepada susunan politik berteraskan kepentingan majoriti, tetapi mengubah pendekatan kepada pendirian lebih plural apabila memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu.
“Seperti sesumpah yang menukar warna mengikut persekitaran, Anwar mengubah pendirian politiknya daripada pendukung hegemoni kepada seorang pluralis demi menyesuaikan diri dengan perubahan politik negara.
“Persoalannya, bagaimana seorang Perdana Menteri boleh diharapkan dan diyakini apabila pendirian politiknya kelihatan sentiasa berubah mengikut keadaan?” soalnya. – UTUSAN










