KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sebaliknya terus mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai sistem cukai penggunaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GST walaupun mampu menjana hasil lebih tinggi kerana dikenakan di semua peringkat rantaian bekalan, ia memberi kesan kenaikan harga yang lebih meluas dan meningkatkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Sebaliknya, katanya, SST bersifat bersasar dan satu peringkat, dengan barangan serta perkhidmatan asas dikecualikan sekali gus mengehadkan kesan inflasi kepada sektor tertentu sahaja.
“Kutipan GST pada 2017 berjumlah RM44 bilion manakala kutipan SST dianggarkan RM55.9 bilion pada 2025. Ini menunjukkan SST masih mampu menjana hasil tanpa membebankan majoriti rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) iaitu mengenai sekiranya kerajaan bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan SST pada masa hadapan.
Anwar berkata, kesan SST terhadap inflasi kekal terkawal dengan kadar inflasi Malaysia pada November 2025 hanya 1.4 peratus, tidak menunjukkan tekanan harga menyeluruh seperti yang sering dikaitkan dengan GST.
Sehubungan itu, kerajaan akan menambah baik pelaksanaan SST daripada segi pematuhan dan perluasan asas cukai secara bersasar sambil memastikan kos sara hidup rakyat terus terpelihara. – UTUSAN










