SATU ketika, industri perniagaan pakaian terpakai atau bundle melonjak dan mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan tanpa mengira latar belakang.
Perkembangan perniagaan itu dapat dilihat daripada penjualan pakaian harian terpakai kepada perniagaan secara sektoral mengikut jenis barang dan trend termasuk vintaj.
Bahkan, perniagaan bundle bukan sahaja berkembang dalam bentuk jualan di kedai malah komuniti bundle juga aktif menyertai festival atau sesuatu program selain konsisten menjalankan perniagaan secara dalam talian.
Namun sejak akhir-akhir ini, perniagaan bundle khususnya di Perlis semakin suram sehingga mendorong komuniti bundle di sini mencari alternatif menampilkan konsep lebih segar dan kreatif bagi menghidupkan kembali industri berkenaan.
Antaranya dengan penganjuran LokaLusuh Pop-Up yang menghimpunkan komuniti bundle, pasar karat serta peniaga makanan dengan suasana vintaj di Jalan Rani Estate, Arau Perlis.

LokaLusuh Pop-Up yang diadakan sebulan sekali iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu bermula 23 Januari lalu menawarkan pelbagai jenis pakaian terpakai, topi, barangan klasik atau vintaj, kraf selain makanan dan minuman.
Ironinya, lokasi berkenaan juga cukup strategik yang berhampiran pusat pengajian seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Matrikulasi sekali gus menjadi tumpuan pelajar di situ selain penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Malah, kewujudan LokaLusuh Pop-Up juga membantu menghidupkan suasana malam di kawasan tersebut yang bakal menjadi salah satu lagi lokasi tarikan baharu di Perlis.
Penganjur, Ainol Izzat Asri,37, berkata, LokaLusuh Pop-Up menghimpunkan tujuh peniaga bundle dengan pelbagai jenis pakaian dengan harga mampu milik dan berkualiti.
Katanya, selain pakaian, terdapat juga jualan barangan kesenian, kraf serta vintaj selain makanan dan minuman seperti kopi.
“Penganjuran itu juga disokong peniaga dari Lidah Kupi, 6NAM, AdiBABA Si Pengutip, TPV Vintage, Janggot Army, Jandes X Slam, TH Bundle EcahLusoh, Get It On, RnK Syndcate, Cherrypoppedstore, LittlePaperArt dan Hazz Burger.
“Antara lain, penganjuran ini juga bagi menghidupkan semula komuniti bundle di Perlis yang semakin suram. Sambutan yang diterima sangat memberansangkan khususnya daripada para pelajar universiti di sini.

“Ia bermula dari pukul 6 petang sehingga 11 malam iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu setiap bulan. Sekurang-kurangnya ia juga membantu menghidupkan suasana malam di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Seorang peniaga topi terpakai, Azrin Baharom,40, berkata, penganjuran LokaLusuh Pop-Up membuka peluang kepada para peniaga barangan terpakai mencari rezeki.
“Kebanyakan topi yang dijual di sini berkualiti dan vintaj yang sukar dicari dengan harga serendah RM10 sehingga ratusan ringgit. Alhamdulilah sambutan sangat baik dan secara tidak langsung membantu para peniaga bundle meraih pendapatan,” katanya.
Seorang peniaga barangan vintaj, Mohd. Adib Ramli,36, berkata, terdapat pelbagai jenis barangan vintaj yang menjadi tumpuan seperti patung, barangan permainan 80-an, 90-an, pakaian, poster dan banyak lagi dijual di sini.
“Selalunya barangan-barangan vintaj ini mempunyai peminat tersendiri yang mengumpul barangan tersebut. Sebelum ini, saya menjual barangan ini di pasar pagi atau nat pokok getah di Pauh,” katanya.
Seorang pengunjung, Ilya Nadzirah Khairul Hisham,22, berkata, selain pelbagai jenis pilihan barangan terpakai, dia juga sangat teruja dengan suasana atau ‘vibes’ di sini.
“Harga barangan dan makanan yang dijual di sini juga berpatutan dan kewujudan LokaLusuh Pop-Up juga membuatkan kawasan ini kembali hidup yang selalunya sunyi pada waktu malam,” kata pelajar UiTM cawangan Arau, Perlis itu.
Khusairi Helmi Hassan Masri,23, pula berkata, baju-baju terpakai yang berkualiti dengan harga murah menjadi pilihan kebanyakan pelajar.










