PETALING JAYA: Malaysia menuju ke fasa negara tua dengan keadaan kewangan isi rumah yang semakin rapuh, apabila satu daripada tujuh rakyat ini akan berusia 65 tahun menjelang 2040, kata kajian terbaharu PNB Research Institute (PNBRI).
Penyelidik PNBRI, Dr. Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim berkata, ramai rakyat negara ini yang memasuki usia pertengahan dengan simpanan yang terhad, hutang yang tinggi dan penampan kewangan yang nipis.
Katanya, Malaysia telah pun melepasi ambang ‘masyarakat menua’, dengan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus pada tahun 2022 dan mencapai 7.7 peratus menjelang 2024.
Menurutnya, perkadaran ini diunjurkan akan meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 14 peratus menjelang 2040, menandakan kemasukan Malaysia ke dalam status ‘negara warga emas’ dalam tempoh lebih dua dekad.
“Malaysia sedang menua sebelum mencapai status negara berpendapatan tinggi, tidak seperti rakan serantaunya yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, dan Singapura yang mengalami penurunan kadar kesuburan ketara selepas mencapai status negara berpendapatan tinggi.
“Malaysia pula sedang menua dengan tahap pendapatan dan pemilikan aset yang lebih rendah, pertumbuhan gaji lebih lemah, tahap kecukupan simpanan yang lebih rendah, dan kedudukan kewangan isi rumah yang lebih sempit,” katanya dalam kajian tersebut.
Tambahnya, realiti baharu ialah kerja keras tidak lagi menjadi jaminan kestabilan kewangan, dengan data menunjukkan bahawa eekitar 50 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM10,000.
Jelasnya 18 peratus pencarum lelaki dan 12 peratus pencarum wanita mencapai ambang asas KWSP sebanyak RM240,000 menjelang usia 55 tahun dan hampir 60 peratus pekerja berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, dengan gaji median sebenar hampir tidak berubah sepanjang sedekad lalu.
Selain itu, pulangan gaji bagi pemegang ijazah semakin menyusut dalam tempoh 25 tahun, sementara pengagihan pendapatan masih belum seimbang dengan kumpulan 20 peratus terbawah memegang kurang daripada enam peratus, manakala kumpulan 20 peratus teratas memegang sekitar 41 peratus.
“PNBRI mengenal pasti bagaimana ketahanan kewangan isi rumah jangka panjang boleh dicapai menerusi tiga teras utama iaitu pertama ialah keupayaan yang mana kemahiran dan pekerjaan mesti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan secara progresif dan bukan sekadar peluang pekerjaan.
“Kedua adalah pemilikan, rakyat perlu diberikan akses awal dan menyeluruh untuk membentuk aset atau harta dan tidak hanya bergantung kepada gaji bulanan semata-mata.
“Sementara itu, ketiga adalah ketahanan, sebarang krisis atau kejutan ekonomi tidak seharusnya menyebabkan rakyat kehilangan wang simpanan atau memaksa mereka berhutang demi kelangsungan hidup,” jelasnya. – UTUSAN










