Tiada kes baharu wabak penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia

Tiada kes baharu wabak penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu jangkitan virus Nipah dilaporkan di negara ini setakat ini susulan kejayaan membendung wabak penyakit berkenaan sejak September 1999.

Bagaimanapun, KKM memaklumkan, pihaknya kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik yang dilaporkan di beberapa negara lain.

Katanya, KKM terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan menerusi pelaksanaan saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko.

“Pada masa sama, KKM turut mempertingkatkan pengawasan berterusan, pengukuhan kapasiti makmal negara, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan serta pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan termasuk amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC).

“Usaha ini turut melibatkan kerjasama rentas sektor dan antara agensi bagi melindungi kesihatan awam serta mencegah kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, pemantauan berterusan terhadap penyakit berkenaan turut diperkasakan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menerusi pendekatan One Health.

Katanya, setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik mahupun hidupan liar.

“Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan yang tercemar serta kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

“Gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, kesukaran bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari,” katanya.

Tambah KKM, komplikasi penyakit itu termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.

“Penyakit ini merupakan penyakit wajib lapor di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Media antarabangsa melaporkan, India kini berdepan ancaman wabak virus Nipah selepas dua kes jangkitan dalam kalangan manusia dikesan di Bengal sejak bulan lalu, sekali gus mendorong kebanyakan negara mengetatkan saringan di pintu masuk antarabangsa masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×