KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menutup mulut pengkritik apabila bangkit merangkul kejuaraan Indonesia Masters 2026 selepas permulaan musim yang tidak konsisten biarpun berstatus juara dunia 2025.
Kejayaan di Istora Senayan itu hadir hanya seminggu selepas mereka tersingkir di pusingan pertama Terbuka India dan suku akhir Terbuka Malaysia, sekali gus mencetuskan pelbagai kritikan terhadap prestasi pasangan ranking keempat dunia berkenaan.
Lebih manis, pasangan No. 4 dunia itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara merangkul gelaran pada kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.
Ee Wei menyifatkan sokongan penyokong di Istora sebagai pembakar semangat kebangkitan mereka sambil mengakui tekanan hebat yang dihadapi sebelum kejohanan itu.
“Saya amat bersyukur dapat muncul sebagai juara. Paling penting, kami terus percaya antara satu sama lain dan saya juga perlu kekal yakin dengan diri sendiri. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa memberikan sokongan,” kata Ee Wei.
Beliau turut menjelaskan mereka gagal memulakan permainan dengan baik pada set pertama namun kekal tenang dan saling memberi motivasi untuk bangkit.
Tang Jie pula mengakui kejuaraan itu menjadi suntikan moral penting selepas permulaan musim yang sukar dan menegaskan komunikasi pantas menjadi kunci kebangkitan mereka.
“Kami sentiasa berbincang untuk buat pelarasan segera dan percaya dengan kemampuan sendiri, itu juga yang jurulatih kami, Nova Widianto, mahukan,” kata Tang Jie.
Pada aksi final kelmarin, Tang Jie-Ee Wei menewaskan beregu Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-17, 21-11 untuk membawa pulang wang tunai RM158,242. – UTUSAN










