PETALING JAYA: Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban menegaskan, tindakan tegas turut dikenakan terhadap warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah.
Menurutnya, JIM akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang di seluruh negara.
“Kita (JIM) akan terus membanteras kegiatan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang tanpa sebarang kompromi.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen serta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki warganegara Bangladesh dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas disabitkan bersalah mengikut Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Mahkamah Tinggi Shah Alam (Jenayah 6), Selangor pada 22 Januari 2026 mensabitkan tertuduh, Rabbi Hosen, 21, atas kesalahan menyembunyikan dan melindungi empat migran warganegara Bangladesh.
“Hakim mendapati tertuduh bertindak sebagai penjaga sebuah rumah penampungan migran yang dijadikan premis transit bagi aktiviti penyeludupan migran. Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
“Tindakan penguatkuasaan ini adalah hasil Operasi Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia pada 4 November lalu di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, dekat sini,” jelasnya.
Tambah beliau, JIM kekal komited untuk terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara. – UTUSAN










