Kolaborasi agung: Jangan ulang kesilapan lama

Kolaborasi agung: Jangan ulang kesilapan lama

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYATUAN Melayu kembali menjadi wacana besar politik tanah air ketika landskap kuasa semakin rapuh dan kepercayaan rakyat terus terhakis.

Di tengah kegelisahan ini, UMNO mencadangkan penubuhan ‘rumah bangsa’ dan kolaborasi agung dengan hasrat menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan, tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.

Di sebalik pelbagai pihak bercakap tentang kolaborasi ini, Pas tampil dengan pendirian tegas dan berprinsip yang kekuatan bangsa Melayu tidak boleh dibina atas permainan angka atau helah sementara, sebaliknya mesti berteraskan nilai, prinsip dan keikhlasan.

Naib Presiden Pas, DATUK IDRIS AHMAD dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR mengatakan penyatuan bukan slogan kosong untuk menang pilihan raya tetapi asas membina kestabilan negara dalam jangka panjang.

“Idea ‘rumah bangsa’ atau kolaborasi agung hanya bermakna jika ia benar-benar menyatukan, bukan mengulangi luka lama yang berpunca daripada pengkhianatan prinsip,” katanya.

 


UTUSAN: Apakah pendirian Pas sejak awal tentang penyatuan Melayu?

IDRIS: Sejak awal penubuhan, Pas berpegang kekuatan politik Melayu hanya dapat dibina melalui penyatuan.

Bagi Pas, orang Melayu mesti kuat terlebih dahulu untuk menjadi tunjang kestabilan negara. Apabila Melayu bersatu dan kukuh, bangsa lain akan lebih menghormati kita.

Penyatuan ini bukan bertujuan menindas mana-mana kaum, sebaliknya untuk mewujudkan keseimbangan dan keadilan dalam masyarakat majmuk.

 

Mengapa Pas melihat penyatuan Melayu penting dari sudut nilai dan moral?

Kerana majoriti orang Melayu berpegang kepada Islam. Islam membentuk kerangka moral yang jelas, ada dosa, pahala dan had. Ia mengajar supaya tidak menzalimi sesiapa, sama ada Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum.

Dalam kerangka ini, kuasa politik tidak boleh digunakan sesuka hati kerana ada batas yang mengikat. Inilah asas keadilan yang ingin dibina melalui penyatuan Melayu berteraskan nilai.

 

Bagaimana Pas melihat idea ‘rumah bangsa’ atau kolaborasi agung yang dicadangkan Presiden UMNO?

Pas tidak menutup pintu perbincangan tentang ‘payung besar’, ‘rumah bangsa’ atau kolaborasi agung yang lebih menyatukan orang Melayu-Islam. Namun, berdasarkan pengalaman lalu, Pas tidak mahu mengulangi kesilapan. Kerjasama politik mesti membawa penyatuan yang sebenar, bukan sekadar strategi jangka pendek untuk menang pilihan raya.

Sementara ‘rumah bangsa’ bukan milik mana-mana parti. Ia terbuka kepada semua, termasuk bekas ahli UMNO dan Pas. Jika melihat sejarah Pas juga datang daripada latar belakang UMNO. Maksudnya, ia mengajak semua orang Melayu dan rakyat untuk bersama, tanpa ada siapa yang mendominasi atau meninggikan diri.

Namun bagi Pas, selagi tiada DAP, kami terbuka untuk berada di bawah ‘payung besar’ berkenaan.

Politik hari ini bukan sekadar tentang parti atau logo. Ia tentang kepercayaan, hubungan dan keikhlasan. ‘Rumah bangsa’ atau kolaborasi agung ini mesti dilaksanakan tetapi ia hanya boleh dibina jika semua pihak sanggup menutup buku lama, merendahkan ego dan meletakkan masa hadapan anak cucu lebih tinggi daripada kepentingan sendiri.

 

Adakah Pas benar-benar bersedia untuk kerjasama ini?

Ya, Pas bersedia tetapi dengan syarat, tiada siapa yang meletakkan diri lebih tinggi daripada yang lain. Kerjasama mesti berlaku atas dasar setara dan saling menghormati.

Isunya jelas, pengalaman mengajar kita. Kita sudah melalui banyak kekalahan dan jatuh bangun. Kita pernah mencuba, pernah tersungkur dan daripada situlah kita belajar. Sebab itu kita tegas dalam satu perkara yang penyatuan orang Melayu mesti berlaku tanpa DAP. Itu garis merah kita.

 

Mengapa Pas begitu tegas tidak mahu bekerjasama dengan DAP?

Ini lahir daripada pengalaman. Pas merasakan kerjasama dengan DAP tidak selari dengan prinsip perjuangan dan hala tuju yang ingin dibawa. Ambil contoh Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, walaupun sedar keputusan itu menyebabkan kekalahan, Pas tetap memilih keluar.

Bagi Pas, prinsip lebih utama daripada kuasa. Kalah dengan maruah lebih baik daripada menang dengan menggadai prinsip.

 

Adakah Pas menunggu penjelasan lebih jelas daripada UMNO tentang kolaborasi agung ini? Ada perbincangan UMNO tentang perkara ini?

Ya. Pas menunggu penjelasan yang jelas dan terbuka daripada UMNO. Jika mahu membina kerjasama baharu, ia mesti tanpa syarat yang mengekang, terutama syarat yang terus mengikat kepada pihak yang bercanggah dengan prinsip Pas. Penyatuan tidak boleh bersifat kosmetik atau bersyarat secara sepihak.

Pintu pejabat kami sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan tentang perkara ini. Kita akan mendengar dan kemudian menilai sebelum membuat sebarang keputusan.

Namun, kita sudah kira semua kemungkinan. Tanpa kesepakatan Melayu yang tulen, kita hanya menjadi pelengkap kepada pihak lain, sekadar enjin untuk menguatkan agenda orang lain. Itu bukan jalan yang kita mahu. Kita tidak mahu penyatuan ini menguatkan Pakatan Harapan (PH), kami bukan bodoh.

 

Tapi Datuk, UMNO akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang ada DAP, malah Presiden UMNO sendiri kata kolaborasi agung ini tidak akan menggugat kerajaan hari ini?

Perlu sedar di peringkat bawah, ramai yang bersetuju tentang keperluan penyatuan Melayu. Mereka melihat realiti politik dan masa hadapan bangsa. Namun, mereka kecewa apabila kenyataan pimpinan pusat dilihat menutup ruang itu. Hakikatnya, akar umbi ada hasrat tetapi tidak mempunyai kuasa menentukan arah.

 

Kita kerap dengar daripada ahli UMNO “Pas dulu pun bekerjasama dengan DAP” tetapi sekarang menjauhi DAP, walaupun untuk perkara-perkara yang dikatakan baik. Komen?

Tutup buku lama, buka buku baharu. Politik hari ini bukan untuk kita yang sudah berusia tetapi untuk anak dan cucu. Jangan terus terperangkap dalam luka silam dan dendam politik. Fikirkan masa hadapan bangsa dan negara.

Matlamatnya ialah mewujudkan kestabilan negara melalui penyatuan Melayu yang tulen, berteraskan nilai, keadilan dan tanggungjawab. Ia bukan permainan kuasa semata-mata tetapi usaha membina masa hadapan yang lebih terjamin untuk generasi seterusnya.

 

Mengapa Pas sering menyebut soal pengalaman lalu? Perkara apa yang terlalu menyakitkan hati?

Kerana Pas sudah melalui banyak fasa kerjasama sebelum ini. Kami pernah bersama, pernah diajak dan pernah mengajak. Selepas PRU 15, Pas juga membuka ruang tetapi ketika itu tidak disambut. Pengalaman inilah yang menjadikan kami lebih berhati-hati dan realistik.

 

Bagaimana Pas melihat sentimen orang Melayu hari ini terhadap UMNO?

Sentimen itu boleh dilihat dengan jelas di ruang awam, melalui komen di media sosial, YouTube dan perbualan rakyat. Suara itu wujud dan mencerminkan perubahan sikap orang Melayu terhadap politik lama.

 

Apa yang dimaksudkan dengan kepimpinan yang dekat dengan rakyat?

Lihat tokoh seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan. Beliau dikenali kerana sikap mesra, mudah dihubungi, angkat telefon, balas mesej dan dekat dengan orang kampung. Orang begini menang bukan kerana jenama parti semata-mata tetapi kerana hubungan kemanusiaan yang tulen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×