Lahirkan generasi kalis rasuah melalui pendidikan

Lahirkan generasi kalis rasuah melalui pendidikan

UMAT Islam perlu dididik menolak sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerana Allah sentiasa memerhatikan setiap perbuatan manusia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA dahulu dalam unit risik tentera. Banyak tugasan mencabar nyawa saya buat demi negara. Bersara tahun 1992 dengan pencen cuma RM 750. Pendapatan sebanyak itu tak cukup untuk menampung keperluan hidup di Kuala Lumpur. Nasib baik isteri saya kerja jaga dan asuh anak orang, dapatlah tampung sedikit pendapatan keluarga.”

Itu luahan hati Pegawai Waran 1 (B) Yahya Yaakup yang juga ahli Jemaah Surau Muwafaqah dalam qaryah Taman Melawati. Beliau sekarang uzur dengan sakit kencing manis. Sayu hati saya mendengar luahannya ketika singgah menziarahi beliau baru-baru ini.

PENULIS (kiri) bersama Pegawai Waran 1 (B) Yahya Yaakup dalam pertemuan di kediamannya di Taman Melawati, baru-baru ini.

Mendengar kisah getir kehidupan beliau dan ramai lagi veteran tentera yang pernah bersabung nyawa menabur bakti kepada negara ‘menaikkan’ suhu amarah saya. Mengapa perlu marah? Saya tidak memarahi mereka, sebaliknya marah kepada pegawai atasan tentera yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa yang membaham ‘wang pembayar cukai’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya layak untuk marah kerana saban tahun saya membayar cukai kepada negara.

Ketika segelintir pegawai atasan rakus membaham rasuah, ramai veteran tentera yang meniti hidup dengan falsafah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Walaupun kes orang besar tentera ini masih dalam siasatan dan belum tentu lagi keputusannya, namun masakan pokok boleh bergoncang jika tiada angin. Mana mungkin gaji pegawai tentera memungkinkan mereka punyai aset jutaan ringgit. Tambahan pula tidak mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sekadar mengisi masa lapang menyiasat kes tersebut.

Terbaharu, dalam ucapan Istiadat Pembukaan Penggal Ke 5, Parlimen Ke 15, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa berikutan jenayah rasuah serta penyalahgunaan kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Baginda bertitah, jika pegawai atasan hilang integritinya, baginda mungkin terpaksa melantik seorang berpangkat Sarjan menjawat jawatan Panglima ATM.

Teguran keras baginda itu mengingatkan saya kisah Nabi SAW dan Mu’adh bin Jabal. Selepas perlantikannya sebagai wakil Nabi ke Yaman, Mu’adh mula bergerak. Di pertengahan jalan, wakil Nabi memanggil Mu’adh pulang. Lantas Nabi memberi pesanan tambahan:

“Apakah engkau tahu mengapa Aku memanggilmu pulang? Ingatlah pesanku ini, kerana engkau bakal menjadi seorang pemimpin yang memiliki kuasa. Jangan sekali-kali engkau mengambil apa-apa pun ketika memegang jawatan ini tanpa keizinanku, kerana perbuatan itu boleh menjadi suatu pengkhianatan dan korupsi. Sesungguhnya Allah telah berpesan dengan tegas, sesiapa yang berkhianat atau menggelapkan sesuatu, maka dia akan memikul dosa itu pada hari kiamat untuk menerima balasan yang setimpal,” (Ali ‘Imran 3:161)

Kemudian Nabi bersabda “Kerana pesanan inilah Aku memanggilmu kembali. Kini pergilah, dan teruskanlah tugasanmu di Yaman.” (Sunan al-Tirmidhi, no. 1335)

Rasuah dalam kalangan pemimpin tertinggi tentera sangat berbahaya. Perhatikan ancaman Nabi ini:

“Tidak ada satu kaum yang berleluasa padanya amalan riba, melainkan akan ditimpa kemarau (yang memusnahkan). Juga tidak ada satu kaum yang berleluasa padanya amalan rasuah, melainkan akan ditimpa ketakutan (Musnad Ahmad, 17822).

Walaupun hadis ini dinilai lemah oleh sesetengah ulama’ hadis, maknanya benar seiring logik manusia kerana pertahanan sesebuah negara boleh roboh kerana najis rasuah dalam kalangan tenteranya. Sejarah dunia sudah membuktikan perkara ini.

Pada masa yang sama perdana menteri turut mengumumkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang bertujuan mengangkat kualiti Pendidikan negara secara lebih holistik dan dinamik.

Bagi menghubung rantaian harapan Yang di-Pertuan Agong berkenaan isu integriti dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, penulis mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai pemegang taruh utama inisiatif tersebut memandang serius isu rasuah. Jika SPRM menentang amalan rasuah sehingga ke akar umbi, KPM pula pula perlu menanam benih rakyat Malaysia yang anti, benci, jijik rasuah juga sehingga ke akar umbi.

Penulis percaya pendidikan punyai kesan hebat untuk mengubah generasi manusia. Jika anak-anak kita mulai didedah dengan bahaya rasuah dari semua peringkat pendidikan bermula tadika sehingga ke universiti seiring Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, benih generasi Malaysia yang jijik serta kalis rasuah akan tumbuh subur membawa Malaysia maju ke masa hadapan.

Bagi umat Islam, isu rasuah dan salah guna kuasa mesti diikat kukuh dengan persoalan akidah.

Sukatan pelajaran di semua peringkat pendidikan wajar disusun semula dengan memberi penekanan khusus kepada dua rukun iman utama, iaitu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari kiamat.

Umat Islam perlu dididik menolak sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kerana Allah sentiasa memerhatikan setiap perbuatan manusia, meskipun tiada siapa yang menyiasat atau mengawasi. Walaupun seseorang terlepas daripada tindakan undang-undang di dunia, balasan dan azab di akhirat tetap menanti pelaku rasuah.

Generasi Muslim yang benar-benar menghayati dua rukun iman ini akan memiliki kekuatan dalaman untuk menentang godaan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Hadis sebegini perlu diangkat pada peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti:

Sesiapa yang kami amanahkan untuk melakukan sesuatu kerja, lalu dia dengan sengaja menyembunyi (sesuatu walaupun sekecil) jarum (nilainya) atau yang lebih dari itu, ia dikira sebagai harta khianat yang membelenggunya yang akan dibawa balasan untuknya pada hari kiamat (Sahih Muslim, 1833).

Jawatan adalah amanah, bukan peluang untuk mengaut keuntungan. Rasulullah sendiri pernah menunjukkan kemarahan yang tegas terhadap salah guna kuasa. Baginda pernah melantik seorang lelaki sebagai amil zakat Bani Sulaym. Sekembalinya bertugas, lelaki itu berkata, “Ini zakat yang aku kutip dan ini pula hadiah untukku.”

Rasulullah terus menempelak “Mengapa engkau tidak duduk sahaja di rumah ibu bapamu, lalu menunggu orang datang memberi hadiah kepadamu?” Baginda kemudian bersabda dengan tegas,

“Demi Allah, sesiapa yang mengambil sesuatu secara tidak sah, dia akan memikul dosanya pada hari kiamat,” (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim)

Tegahan ini jelas menunjukkan mengambil kesempatan atas jawatan adalah dosa besar dan akan menerima hukuman berat di akhirat. Marilah kita menghayati doa Rasulullah agar kita menjadi umat yang kalis rasuah dan pengkhianatan.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini