Bunyi batu asah, kilauan mata pisau kepuasan Hasnudin

Bunyi batu asah, kilauan mata pisau kepuasan Hasnudin

HASNUDIN sebelum ini berkecimpung dalam dunia fotografi profesional selama 15 tahun sebelum menceburkan diri dalam bidang pisau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA usia 51 tahun, Hasnudin Abu Samah masih tekun memerhati setiap bilah pisau yang berada di tangannya, seolah-olah ia bukan sekadar besi tajam, tetapi sebuah karya yang punya cerita tersendiri.

Setiap gerakan dibuat penuh cermat, daripada cara memegang hingga menilai ketajaman mata pisau, mencerminkan disiplin seorang pengusaha yang memahami tanggungjawab terhadap kualiti.

Bunyi besi bergesel dengan batu asah dan kilauan mata pisau yang tersusun kemas sudah menjadi irama harian dalam rutin hidupnya.

Bagi Hasnudin, pisau bukan sekadar alat, sebaliknya amanah kepada pengguna yang menuntut ketepatan, keselamatan dan kepercayaan.

Ketelitian itu tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya terbentuk hasil pengalaman panjang melalui pelbagai fasa jatuh bangun dunia perniagaan.

DUNIA FOTOGRAFI

Sebelum dikenali dalam industri pisau, Hasnudin terlebih dahulu menghabiskan 15 tahun dalam dunia fotografi profesional.

Ketika itu, bidang fotografi memberinya nama, kepuasan dan kestabilan kewangan yang cukup selesa.

DENGAN pendekatan yang konsisten dan servis lengkap, kedainya kini dikenali sebagai pusat pisau yang paling lengkap di pasaran.

Namun perubahan pasaran memaksanya membuat keputusan sukar dengan menutup perniagaan dan menjual aset bagi melangsaikan hutang.

Dari situ bermulalah fasa pencarian arah baharu, dengan pelbagai idea dicuba termasuk pertanian dan penternakan.

Namun, percubaan tersebut tidak membuahkan hasil, malah kegagalan demi kegagalan membuatkan beliau lebih berhati-hati melangkah.

Dalam pencarian itulah, minat terhadap gajet lelaki dan peralatan lasak membuka pintu kepada dunia pisau.

“Saya berada dalam bidang fotografi selama 15 tahun sebelum terpaksa tutup bisnes itu.

Dari situ saya belajar tentang disiplin dan ketahanan dalam berniaga,” katanya.

BERMULA DARI RUMAH

Perjalanan baharu itu bermula pada 2015 apabila Hasnudin memulakan perniagaan pisau secara kecil-kecilan dari rumah dengan modal sekitar RM30,000.

Pada peringkat awal, segalanya dilakukan seorang diri, daripada pemasaran hinggalah membungkus dan menghantar pesanan kepada pelanggan.

Setiap maklum balas pelanggan diperhatikan dengan teliti, manakala setiap kesilapan dijadikan pelajaran untuk menambah baik perkhidmatan.

Tiga tahun pertama perniagaan berjalan sederhana tanpa lonjakan besar, namun asas yang kukuh dibina sedikit demi sedikit.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan terhadap pisau melonjak apabila orang ramai mula berbelanja dalam talian.

“Waktu PKP, jualan naik tiga hingga lima kali ganda tanpa saya buat promosi pun. Orang datang beli sebab mereka percaya, dan dari mulut ke mulut, perniagaan saya berkembang,” katanya.

Situasi itu menyebabkan Hasnudin menyusun operasi dengan lebih sistematik, menambah variasi produk dan membina pasukan kecil.

PISAU BERBEZA

Kini, perniagaannya merangkumi tiga segmen utama iaitu pisau kulinari, pisau sembelihan dan pisau lasak untuk kegunaan luar.

Setiap segmen memerlukan pendekatan berbeza kerana pelanggan, fungsi dan tahap ketahanan pisau juga tidak sama.

“Setiap segmen pisau ada pelanggan yang berbeza. Jadi pendekatan dan cara pemasaran pun kena lain. Pisau kulinari, pisau sembelihan dan pisau kegiatan luar semuanya perlukan strategi tersendiri,” ujarnya.

Dari segi jenama, kebanyakan produk diimport dari Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat yang terkenal dengan kualiti pembuatan masing-masing.

Selain menjual pisau, Hasnudin turut menawarkan aksesori seperti pengasah, batu asah, papan pemotong, sarung pisau, serta perkhidmatan baiki, cetak logo dan tulis nama pada pisau.

Dengan pendekatan yang konsisten dan servis lengkap, kedainya kini dikenali sebagai pusat pisau yang paling lengkap di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×