2,669 migran gagal masuk negara - Utusan Malaysia

2,669 migran gagal masuk negara

Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki baru tiba dari Indonesia ditahan di perkampungan atas air Batu 3.5,Jalan Apas Tawau, Sabah-Gambar Ihsan ESSCOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di negara ini menunjukkan penurunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa lain sepanjang tempoh itu.

Perkara itu terbukti apabila sebanyak 2,669 migran terdiri daripada 1,915 lelaki dan wanita (754) ditahan dalam tempoh tahun lalu sehingga 30 April lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,898 migran ditahan pada tahun lalu manakala 771 orang lagi diberkas sejak awal tahun ini sehingga April lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D3 Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, migran paling ramai ditahan warga Indonesia apabila merekodkan 1,755 orang diikuti Myanmar (406 orang), Thailand (225 orang), Filipina (127 orang) dan Bangladesh (25 orang).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 2,515 migran yang ditahan adalah golongan dewasa manakala 154 lagi kanak-kanak.
“Bagi kesalahan penyeludupan migran, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), sekiranya disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

“Semua migran terbabit ditahan ketika cuba-cuba masuk ke negara ini melalui jalan laut dan darat di sempadan negara yang mana kebiasaannya mereka menyasarkan kawasan persisiran pantai perairan Selat Melaka dan kawasan persempadanan dengan negara jiran,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, kata Fadil, terdapat migran yang sanggup membayar sejumlah wang kepada ejen untuk menguruskan perjalanan dari negara asal ke negara destinasi.

Menurutnya, ejen-ejen yang berpangkalan di negara asal mereka kemudian akan bertindak menguruskan dan mengaturkan kemasukan migran ke negara yang mereka tuju.

“Setelah sampai di negara destinasi migran akan ditempatkan sementara di tempat penampungan sebelum dihantar ke destinasi masing-masing dan mereka yang masuk ke negara ini adalah bagi mencari pekerjaan.

“Kebiasaanya caj yang dikenakan ke atas seorang migran adalah serendah RM500 hingga RM1,500 bergantung kepada jarak dan lain-lain bayaran termasuk caj pengangkutan darat iaitu bas atau kereta sewa,” jelasnya.

Dalam pada itu, jelas Fadil, meskipun trend jenayah itu menurun, kawalan di semua sempadan akan digerakkan lebih aktif di seluruh negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan berlaku sekali gus mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

“Operasi yang banyak dan lebih aktif serta pemeriksaan lebih ketat yang dilakukan menyebabkan jumlah migran dan penyeludup yang berjaya ditangkap lebih ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×