TEL AVIV: Israel menyatakan bantahan terhadap barisan anggota panel yang akan beroperasi di bawah Lembaga Keamanan Gaza yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menyelia pentadbiran wilayah itu selepas perang.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, pengumuman mengenai komposisi Lembaga Eksekutif Gaza yang berada di bawah Lembaga Keamanan tidak dikoordinasikan dengan Israel dan bercanggah dengan dasar negara itu.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Luar untuk menghubungi Setiausaha Negara AS berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.
Panel itu dikenali sebagai Lembaga Eksekutif Gaza secara khusus merangkumi Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan serta seorang pegawai kanan Qatar dan diumumkan oleh Rumah Putih.
Pembentukan Lembaga Keamanan mula diperluas pada Sabtu apabila pemimpin Mesir, Turkiye, Argentina dan Kanada diminta menyertainya.
Trump sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi badan tersebut, selaras dengan visinya yang kontroversi mengenai pembangunan ekonomi di wilayah Palestin itu yang sebahagian besarnya musnah akibat pengeboman berterusan Israel selama dua tahun.
Presiden AS itu turut menamakan Setiausaha Negaranya, Marco Rubio; bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair; serta perunding kanan, Jared Kushner dan Steve Witkoff sebagai anggota Lembaga Keamanan yang kebanyakannya juga menganggotai Lembaga Eksekutif Gaza.
Langkah tersebut dibuat selepas jawatankuasa teknokrat Palestin yang ditugaskan mentadbir Gaza di bawah penyeliaan Lembaga Keamanan mengadakan mesyuarat pertamanya di Kaherah yang turut dihadiri Kushner.
Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam mengkritik komposisi Lembaga Keamanan tersebut dengan menyatakan ia berkhidmat untuk kepentingan Israel.
Menurut kumpulan itu, lembaga berkenaan dibentuk mengikut kriteria Israel dan bertujuan memenuhi kepentingan penjajahan, katanya dalam satu kenyataan.
Ali Shaath, anak jati Gaza dan bekas timbalan menteri Pihak Berkuasa Palestin sebelum ini dilantik untuk mengetuai jawatankuasa teknokrat pentadbiran wilayah berkenaan.
Trump, yang berlatarbelakangkan bidang hartanah sebelum ini pernah menyuarakan idea untuk membangunkan Gaza yang musnah menjadi kawasan peranginan ala Riviera, namun beliau kemudiannya berundur daripada cadangan untuk memindahkan penduduk wilayah itu secara paksa. -AFP










