MELIHAT pada perkembangan, gelodak politik tanah air khususnya yang lebih menjurus kepada politik bertunjangkan Melayu, suatu andaian positif yang boleh disandarkan, bahawa UMNO masih berpeluang meraih kemenangan dan mendominasi semula sebagai peneraju pemerintahan negara.
Kelihatannya seolah-olah masyarakat di akhir-akhir ini ‘tercari-cari’ semula jenama parti yang layak dan perlu diberi sokongan atau dibuat pilihan. Semakin hilang istilah politik taksub atau penyokong tegar. Perubahan iklim politik negara membuatkan hal demikian berlaku.
Sejarah menceritakan keupayaan, keberkesanan UMNO yang sekian lama bertapak di atas ciri-ciri kelebihan yang tersendiri. Tiada siapa yang boleh melabelkan UMNO sebagai sebuah ‘parti serpihan’ atau ‘politik kontemporari’.
Mungkin ramai yang kurang gemar dengan naratif sejarah kegemilangan atau yang dikaitkan dengan keistimewaan jenama UMNO.
Ada yang menganggapnya terlalu klise dan sudah jauh ketinggalan zaman untuk diulang-bicara. Tetapi jika itu hakikat dan kenyataannya, kenapa perlu mudah dinafi?
Apatah lagi, takdir telah menentukan betapa rakyat Malaysia umumnya berpeluang menyaksi dan merasai sendiri landskap politik tanah air yang berubah khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perubahan suasana politik selepas PRU-15 membuatkan ramai dapat membuat ‘pengukuran’ semula prestasi atau keupayaan sebenar berada dibawah naungan politik yang berbeza.
Lalu, tidak kurang yang menemui rumusan, bahawa orang Melayu tidak ada banyak pilihan selain terpaksa kembali pada asas (back to basic), iaitu memberi sokongan kepada UMNO untuk menerajui pemerintahan negara.
Bahawa UMNO dilihat berupaya mengembalikan keyakinan untuk mempertaruhkan kedaulatan bangsa kekal terjamin.
Bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi pada umumnya, UMNO yang pernah menerajui parti-parti komponen pelbagai kaum dan budaya di bawah payung Barisan Nasional (BN). Kenyataannya, negara terus makmur aman dengan suasana politik yang stabil.
Lebih 60 dekad Malaysia berada dalam lingkaran kehidupan harmoni berpaksikan struktur kenegaraan yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Istilah ‘kemenangan tertangguh’ bermakna UMNO masih ada harapan dan peluang untuk mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Itu pun dengan syarat UMNO perlu mengambil kira aspirasi akar umbi secara jujur dan terbuka.
Perkara asas yang perlu menjadi cagaran UMNO ialah dengan meletakkan hakikat “UMNO mahukan sokongan orang ramai, bukan mengandaikan orang ramai mahukan UMNO”.
Justeru, gunalah pendekatan meraih seberapa ramai penyokong, yang penghujungnya diharap menjadi sebagai pengundi UMNO. Kemenangan bergantung pada bilangan undi tanpa mengira siapa atau dari segmen mana pengundi itu berasal…petani, nelayan, penjawat awam, peniaga atau sebagainya.
Jauhkan dari dilihat ada sikap menjadikan UMNO hak milik eksklusif mana-mana individu, keluarga atau puak. Jangan jadikan UMNO dianggap ‘asing’ kepada orang ramai.
Masih kedengaran seruan agar kalangan yang bergelar ‘pemimpin’ di mana-mana peringkat dalam UMNO mesti bersifat ‘lebih mesra alam’. Lebih kerap ke masjid, surau atau ke dalam khalayak untuk menyapa dan berinteraksi secara mesra dengan masyarakat.
Biar ramai menjadi ‘penyumbang’ bukan ‘penumpang’. Ertinya biar lebih ramai bergerak turun padang dari hanya menunggu menumpang kemenangan.
Tidak perlu meremehkan mana-mana individu atau pihak. Setiap penyokong perlu dianggap tetap berharga.
Apa lagi kalangan mereka yang ‘ada tempat’ dalam masyarakat seperti bekas-bekas pegawai kanan kerajaan atau ahli-ahli agama.
Mereka yang berada di barisan kepimpinan parti juga perlu bijak berkomunikasi. Setiap kenyataan yang dikeluarkan biarlah bernas (substance), dan dengan menggunakan bahasa memujuk atau ‘persuasif’.
Setiap pandangan perlu diulas dengan rasa hormat dan bersifat menghargai. Jangan memperkecilkan (underestimate) cetusan rasa akar umbi. Sokongan mereka tetap berguna.
Anak-anak muda perlu diberi perhatian. Peratusan pengundi berdaftar dalam kalangan anak-anak muda (undi-18) agak tinggi.
Mereka ini perlu didekati dan diberi kefahaman tentang nilai setiap undi. Tegasnya, biar masyarakat termasuk anak-anak muda memberi perhatian serius terhadap kepentingan mengundi dan berpolitik. Bahawa politik itu adalah ‘berkaitan kuasa’.
Pemerintahan negara akan berada di tangan pemegang kuasa politik tanpa mengira bangsa. Penting untuk memastikan parti tonggak bangsa memiliki dua-pertiga kerusi di Parlimen atau di Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jika tidak, akan berlaku fenomena ‘politik ugutan’ atau politik ‘menuntut yang bukan-bukan’.
Setiap ketua keluarga sama ada yang bergelar atuk, nenek, bapa atau ibu perlu mengajak ahli keluarga membuat pilihan tepat dan sesuai. Fikirkan nasib masa depan anak-cucu serta survival bangsa secara umumnya.
Tentu kalangan yang berperingkat dewasa dapat menghayati makna bagi sebuah parti yang mampu merancang dasar dan memelihara kepentingan bangsa selari dengan hak-hak keistimewaan yang dimiliki.
Jika kenyataannya bahawa UMNO itu pernah berjasa terutama kepada orang Melayu, jangan rasa malu atau segan untuk diperkatakan.
Ini tidak kira di mana-mana premis yang sesuai. Setidak-tidaknya semua pihak perlu tahu bahawa UMNO adalah parti yang terlibat secara langsung dalam urusan memerdekakan tanah air.
Dan, UMNO banyak memberi tapak asas untuk orang Melayu membina kemajuan termasuk sosial, pendidikan dan ekonomi.
Segala hal yang tercatat ini mungkin dianggap ‘biasa’, namun segalanya penting untuk dibekalkan kepada ‘pendamping-pendamping masyarakat’ bagi meyakinkan umum khususnya orang Melayu supaya kembali kepada UMNO, parti yang dianggap mampu membawa cahaya baharu bagi kegemilangan masa depan Melayu. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosio-politik tanah air.










