Gadis kerdil berdukung ke sekolah

Gadis kerdil berdukung ke sekolah

SITI Nor Najwa Zulkifli didukung ibunya pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menegah Kebangaaan (SMK) Pulau Beluru Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di Pulau Beluru Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Tumbesaran terbantut bukan alasan menyerah kalah dalam mengejar ilmu apabila seorang gadis kerdil dari Pulau Tokang di sini, tetap cekal hadir ke sekolah walaupun terpaksa didukung ibunya setiap hari.

Siti Nor Najwa Zulkifli, 19, kelihatan ceria memulakan sesi persekolahan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Beluru Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11), di sini, meskipun berdepan keka­ngan fizikal yang ketara.

Remaja itu yang mempunyai ketinggian 90 sentimeter dan berat hanya 15 kilogram (kg) hadir ke sekolah dengan bantuan ibunya, Siti Rashidah Mamat, 50, yang setia mendukungnya sepanjang perjalanan.

Siti Rashidah berkata, ke-adaan fizikal itu menyebabkan Siti Nor Najwa tidak mampu ke sekolah secara bersendirian, tambahan kampung mereka yang dikelilingi sungai hanya boleh diakses menggunakan bot.

“Siti Nor Najwa pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Saya perlu menghantar dan mengambilnya setiap hari walaupun dia sudah berusia 19 tahun.

“Biarpun berdepan masalah pertuturan dan pendengaran, dia tetap menunjukkan sema­ngat luar biasa untuk terus ke sekolah,” katanya.

Sebanyak RM9 diperuntukkan untuk tambang bot Siti Nor Najwa dan adiknya, Muhammad Rizqi, 7, yang turut bersekolah di sekolah sama.

Selain kerdil, Siti Nor Najwa turut menghidap penyakit tulang rapuh dan kekurangan kalsium yang menyebabkan tumbesaran fizikalnya terbantut.

Setiap bulan dia berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan.

Meskipun diuji dengan pelbagai kekurangan, semangat anak keduanya daripada empat beradik itu menjadi kekuatan buat keluarga untuk terus berjuang demi pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×