JOHANNESBURG: China, Russia dan Iran memulakan latihan tentera laut bersama selama seminggu di perairan Afrika Selatan yang disifatkan negara tuan rumah sebagai operasi ‘BRICS Plus’ bagi menjamin keselamatan perkapalan dan aktiviti ekonomi maritim.
BRICS Plus merupakan peluasan kepada blok geopolitik BRICS yang asalnya dianggotai Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, dan dilihat oleh negara anggota sebagai penimbang kepada dominasi ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Barat. Kumpulan itu kini diperluaskan untuk merangkumi enam lagi negara.
Selain itu, kumpulan BRICS yang diperluaskan turut merangkumi Mesir, Indonesia, Arab Saudi, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Walaupun Afrika Selatan kerap mengadakan latihan ketenteraan laut bersama China dan Russia, latihan kali ini berlangsung ketika ketegangan meningkat antara pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dan beberapa negara BRICS Plus, termasuk China, Iran, Afrika Selatan dan Brazil.
Pegawai tentera China yang mengetuai majlis pembukaan latihan memaklumkan Brazil, Mesir dan Ethiopia menyertai latihan tersebut sebagai pemerhati.
Dalam satu kenyataan, pihak tentera Afrika Selatan berkata, latihan yang dikenali sebagai Exercise WILL FOR PEACE 2026 menghimpunkan angkatan laut negara-negara BRICS Plus bagi menjalankan operasi keselamatan maritim bersama serta latihan keserasian operasi.
Jurucakap sementara operasi bersama, Leftenan Kolonel Mpho Mathebula memberitahu Reuters, semua negara anggota BRICS Plus telah dijemput untuk mengambil bahagian.
Trump sebelum ini menuduh negara-negara BRICS mengamalkan dasar anti-AS dan pada Januari lalu mengancam untuk mengenakan tarif perdagangan tambahan sebanyak 10 peratus ke atas semua negara anggota, selain duti yang dikenakan terhadap beberapa negara di seluruh dunia.
Parti Democratic Alliance yang pro-Barat, iaitu parti kedua terbesar dalam kerajaan gabungan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, mengkritik latihan tersebut dengan menyatakan ia bercanggah dengan pendirian berkecuali negara itu.
Parti itu turut mendakwa BRICS menjadikan Afrika Selatan sebagai alat dalam perebutan kuasa oleh negara-negara yang dianggap bermasalah di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, Mathebula menolak kritikan tersebut.
“Ini bukan satu pengaturan politik, tiada sebarang permusuhan terhadap AS,” katanya kepada Reuters, sambil menegaskan Afrika Selatan juga secara berkala mengadakan latihan ketenteraan bersama Tentera Laut AS.










