UMNO pilih kuasa atau prinsip?

UMNO pilih kuasa atau prinsip?

Akmal Saleh ketika hadir pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO berhubung hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam politik, dilema antara kekal berkuasa dan mempertahankan prinsip bukan perkara baharu.

Namun bagi UMNO hari ini, dilema ini bukan lagi soal taktikal jangka pendek, sebaliknya persoalan kewujudan jangka panjang.

Ia menyentuh makna sebenar perjuangan dan sebab mengapa parti ini ditubuhkan, disertai dan dipertahankan sejak berdekad lalu.

Ada pandangan yang menyatakan bahawa dalam realiti politik semasa, UMNO perlu kekal berkuasa walau apa pun kosnya.

Hujahnya mudah: Tanpa kuasa, parti tidak boleh berbuat apa-apa; tanpa kedudukan dalam kerajaan, UMNO akan lenyap daripada radar rakyat. Pandangan ini kelihatan realistik, malah sering dilabel sebagai ‘realpolitik’.

Namun persoalan yang jarang ditanya adalah, adakah kuasa yang dimiliki UMNO hari ini benar-benar berfungsi untuk memulihkan kepercayaan dan sokongan Melayu?

Jika jawapannya tidak, maka kita perlu jujur mengatakan bahawa UMNO sedang berdepan bukan dengan krisis kuasa, tetapi krisis legitimasi (kepercayaan).

Fakta paling asas dalam politik adalah selepas hampir tiga tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan, sokongan Melayu terhadap UMNO tidak menunjukkan tanda pemulihan yang meyakinkan.

Ini yang dibentangkan oleh Felo Ilham Centre, Dr. Mujibu Muis pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia di Dewan Tun Hussien Onn, WTC Kuala Lumpur 3 Januari lalu. Bagaimanapun dinafikan oleh Ilham Centre.

Penafian ini tidak memberikan sebarang makna kerana sentimen dapat dirasai dengan jelas dan buktinya ada di hadapan mata, kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan terbaru kalah di Sabah.

Penafian ini juga hanya menebalkan lagi persepsi terhadap UMNO sebagai parti yang tidak boleh dipercayai dan membina sentimen baharu terhadap think tank itu sendiri.

Isu sebenar bukan kajian itu betul atau salah, metodologi tepat atau tidak tetapi bagaimana kita menguruskan persepsi kebenaran.

Jujur, sentimen terhadap UMNO di kebanyakan kawasan bukan semakin lunak, malah semakin menjauh.

Ini bukan soal persepsi semata-mata, tetapi realiti politik yang boleh dibaca melalui keputusan pilihan raya kecil, kajian sentimen dan respons akar umbi.

Dalam konteks ini, mempertahankan kuasa tanpa memulihkan legitimasi bukan satu strategi mampan.

Kuasa yang tidak menghasilkan keyakinan hanya akan mempercepatkan hakisan sokongan. Ia mungkin memberi kestabilan jangka pendek kepada elit, tetapi mencipta jarak yang semakin luas dengan penyokong teras.

UMNO sejak awal bukan parti teknokrat atau parti sementara. Ia lahir sebagai parti perjuangan membawa agenda agama, bangsa dan tanah air, serta menjanjikan keadilan sosial dan peluang kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Prinsip-prinsip ini bukan hiasan ucapan, tetapi asas kepada kontrak moral antara parti dan penyokongnya.

Apabila prinsip ini kelihatan dikompromi, dikaburkan atau diletakkan sebagai keutamaan kedua demi kelangsungan kuasa, maka akar umbi mula bertanya soalan yang paling asas: Untuk apa kami masih di sini?

Di sinilah kekeliruan sering berlaku. Kekecewaan akar umbi kerap dilabel sebagai emosi atau sentimen tidak rasional.

Hakikatnya, kekecewaan itu lahir daripada pengalaman yang panjang, peluang perubahan yang tidak dimanfaatkan, pembaharuan dalaman yang tidak berlaku, dan wajah kepimpinan yang dilihat tidak banyak berubah walaupun parti telah melalui kekalahan besar.

Kecewa dalam keadaan ini bukan emosi mentah. Ia adalah penilaian politik yang rasional.

‘Realpolitik’ sebenar menuntut keberanian membaca hasil, bukan sekadar mempertahankan niat.

Jika strategi sedia ada gagal memulihkan sokongan, ‘realpolitik’ bukan bermaksud terus berpegang kepadanya atas nama kestabilan, tetapi berani menilai semula arah dan kos.

Di sinilah prinsip menjadi penting. Prinsip bukan lawan kepada realpolitik; prinsip ialah prasyarat kepada realiti politik yang berkesan. Tanpa prinsip yang jelas, parti kehilangan identiti. Tanpa identiti, parti kehilangan sebab untuk disokong. Dan tanpa sokongan, kuasa tidak akan bertahan.

Ini tidak bermaksud UMNO perlu menolak kuasa secara romantik atau bersikap naif terhadap realiti politik. Kuasa tetap penting tetapi kuasa mesti datang selepas kejelasan prinsip, bukan mendahuluinya. Urutannya tidak boleh songsang.

Menjaga kuasa dahulu dengan harapan prinsip akan difahami kemudian adalah formula yang sedang menjerumuskan parti ke dalam krisis keyakinan.

Sejarah politik menunjukkan bahawa parti yang sanggup kehilangan kuasa sementara demi memulihkan prinsip sering mempunyai peluang untuk bangkit semula dengan asas yang lebih kukuh.

Contoh klasik, yang sering digunakan oleh UMNO ialah Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun yang pernah kehilangan kuasa. Mereka berjaya bangkit semula dengan menggunakan masa di luar kerajaan untuk melaksanakan pembetulan dalaman dan memulihkan disiplin parti.

Kehilangan kuasa sementara itu tidak mematikan LDP, sebaliknya membantu parti tersebut kembali berkuasa dengan identiti dan hala tuju yang lebih jelas.

Namun sayang sekali, UMNO hanya pandai meratib LDP tetapi tidak meniru sepenuhnya parti itu untuk kembali bangkit.

Sebaliknya, parti yang mempertahankan kuasa seperti Institutional Revolutionary Party (PRI) di Mexico dengan mengorbankan prinsip, mati perlahan-lahan, kehilangan makna. PRI berkuasa selama 70 tahun di Mexico.

UMNO kini berada di persimpangan itu. Pilihannya bukan sekadar kekal dalam kerajaan atau keluar daripadanya.

Pilihan sebenarnya ialah sama ada mahu menjadi parti yang berkuasa tetapi tidak dipercayai, atau parti yang berprinsip dan sedang membina semula kepercayaan.

Dalam jangka panjang, hanya satu pilihan yang memberi masa depan.

UMNO tidak akan hancur kerana kehilangan kuasa untuk satu tempoh. Tetapi UMNO boleh kehilangan masa depan jika ia kehilangan sebab untuk disokong.

Krisis legitimasi ini harus diselesaikan segera tetapi sehingga kini tidak kelihatan ia akan diselesaikan kerana kepimpinan masih sindrom penafian.

Politik ialah amanah, bukan sekadar pengurusan jawatan.

Dan dalam saat genting ini, mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan bukan sikap idealistik, ia keperluan strategik untuk kelangsungan parti (kalau mahu UMNO terus hiduplah).

Mungkin ini mesej yang mahu disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh dan tidak wajar beliau diserang habis-habisan. – UTUSAN

AZRAN Fitri Rahim ialah pengamal komunikasi yang pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia, Setiausaha Akhbar kepada Menteri dan Pegawai Khas (Media dan Komunikasi Strategik) kepada Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×