PETALING JAYA: Pas telah mengutuskan surat kepada Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) bagi mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melantik pengganti, semalam.
Perkara itu dikongsikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui laman media sosialnya hari ini.
Dalam surat itu, Abdul Hadi menyatakan telah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN pada 30 Disember lalu.
Katanya, peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa pada 1 Januari.
“Di pihak Pas, kami menghormati dan menerima keputusan yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta merakam setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang menerajui PN dalam tempoh sebelum ini.
“Justeru bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3 (1) (b) Perlembagaan PN.
“Iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN dan melantik Pengerusi PN yang baharu,” katanya.
Abdul Hadi berkata, pihaknya berharap perkara itu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.
Bagaimanapun, dalam surat tersebut tidak dinyatakan bila mesyuarat akan diadakan.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon yang akan memimpin gabungan itu dengan antara nama disebut ialah Abdul Hadi sendiri, namun beliau menolak jawatan tersebut kerana keuzuran.
Antara nama lain yang turut diperkatakan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Moktar. – UTUSAN










