Mengapa kerajaan perlu mendengar media?

Mengapa kerajaan perlu mendengar media?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era pasca normal, ketika sempadan antara fakta dan persepsi semakin kabur menyebabkan peranan media tidak lagi terhad sebagai penyampai berita semata-mata. 

Media kini berfungsi sebagai jambatan strategik yang menghubungkan kerajaan dengan masyarakat dalam usaha membina kefahaman, memupuk kepercayaan serta mengekalkan kestabilan politik dan sosial.

Kerjasama strategik antara kerajaan dan media berupaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara serta integriti maklumat yang disampaikan. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, media kekal sebagai tonggak penting dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Ironinya, walaupun maklumat kini mudah diakses di hujung jari, masyarakat masih meletakkan keyakinan tinggi terhadap media sebagai penjaga integriti. Media juga dilihat sebagai jambatan antara budaya dan institusi yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat bermaklumat dan bersatu padu. Peranan ini sukar diganti  platform lain.

Justeru, kerjasama antara kerajaan khususnya agensi kerajaan dan media perlu terus diperkasa agar manfaatnya dapat dirasai rakyat. Semua agensi kerajaan wajar menjalin hubungan strategik dengan media bagi memastikan dasar, polisi dan inisiatif dapat disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat dalam bahasa yang mudah difahami serta disokong data mahupun fakta sahih.

Kerajaan juga perlu menggembleng kepakaran dan kewibawaan wartawan dalam membina naratif berita yang selari dengan budaya, bahasa dan latar sosioekonomi rakyat. Pendekatan ini penting bagi memastikan mesej dasar dan inisiatif kerajaan difahami dengan jelas sekali gus mengelakkan salah tafsir, persepsi negatif atau penolakan awam.

Media wajar dilihat sebagai rakan strategik utama yang menyampaikan suara serta denyut nadi rakyat kepada kerajaan.  Media tidak seharusnya dilabel sebagai menentang atau mengkritik kerajaan apabila melaporkan masalah yang membelenggu rakyat. Sebaliknya laporan sedemikian perlu diterima dengan hati terbuka kerana  membantu mengetengahkan keperluan rakyat yang mungkin terlepas pandang.

Laporan berasaskan realiti lapangan bukan sahaja mencerminkan denyut nadi masyarakat, malah mampu memberi gambaran awal tentang risiko dan kelemahan pelaksanaan dasar baharu. Melalui maklum balas ini, agensi berkaitan dapat bertindak lebih proaktif dengan melakukan penyesuaian dan penambahbaikan agar setiap isu ditangani secara menyeluruh serta berkesan demi kepentingan rakyat mahupun kestabilan negara.

Hakikatnya, persepsi, kepercayaan dan keyakinan rakyat kini banyak dipengaruhi oleh cara maklumat disampaikan kepada umum. Dalam konteks ini, hubungan baik antara media dan kerajaan membolehkan media menjalankan tugas secara beretika serta bertanggungjawab sambil membantu merapatkan jurang ketidakpercayaan melalui laporan yang tepat, seimbang juga bebas sensasi.

Kerjasama strategik ini juga membolehkan media terus berperanan sebagai platform perbincangan awam yang sihat berkaitan isu nasional seperti kos sara hidup, pendidikan, keselamatan dan perpaduan. 

Dalam masyarakat majmuk, peranan ini penting bagi memastikan perbezaan pandangan diraikan secara beradab tanpa menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Selain itu, media turut membantu menjayakan agenda utama kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus dan tatakelola pentadbiran negara. Kepercayaan tinggi kerajaan terhadap media membolehkan laporan pemantauan dilaksanakan secara adil, pendedahan isu dibuat secara beretika serta analisis dasar dibentangkan secara berhemah.

Peranan semak dan imbang ini bukan bertujuan melemahkan kerajaan, sebaliknya mengukuhkan sistem tadbir urus agar sentiasa berpaksikan integriti dan kepentingan rakyat.

 

PERANAN media wajar dilihat sebagai maklum balas membina yang membantu kerajaan menilai kelemahan, memperbaiki dasar dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negara.

 

BENTENG UTAMA

Media arus perdana berfungsi sebagai benteng utama yang menangkis naratif mengelirukan. Melalui kerjasama rapat dengan agensi kerajaan, media dapat memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan berautoriti.

Peranan media menjadi lebih kritikal ketika krisis sama ada politik, ekonomi, wabak atau bencana alam. Dalam situasi ini, media berfungsi sebagai saluran utama penyampai maklumat rasmi kerajaan yang pantas dan tepat. Keberkesanan komunikasi krisis ini membantu mengelakkan panik awam serta meningkatkan kepatuhan rakyat terhadap arahan pihak berkuasa, seperti yang terbukti semasa krisis politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan penularan wabak Covid-19.

Kerjasama strategik antara media dan kerajaan juga membantu mendidik masyarakat untuk menilai kesahihan maklumat, membezakan fakta daripada berita palsu serta memahami konteks sebenar sesuatu laporan. 

Literasi media yang baik menjadikan perbincangan awam lebih matang dan berasaskan fakta sekali gus mengukuhkan hubungan kerajaan dengan rakyat.

Media turut memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan nasional dan keharmonian sosial. Melalui naratif yang inklusif serta sensitif terhadap kepelbagaian kaum, agama dan budaya, media mampu membina persefahaman antara komuniti khususnya ketika isu sensitif berpotensi mencetuskan ketegangan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri menggariskan tiga faktor kejayaan kerajaan perpaduan iaitu kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat. Dalam konteks ini, media wajar diberi penghargaan kerana berjaya menyampaikan dasar dan reformasi kerajaan secara jelas kepada kumpulan sasaran, sekali gus meningkatkan sokongan serta keyakinan rakyat.

Melangkah ke tahun baharu 2026, kerajaan dilihat berazam untuk terus bekerja dengan amanah, keberanian dan ihsan. Sehubungan itu, peranan media sebagai rakan strategik amat penting bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dan keputusan disampaikan secara jelas, tepat dan berimbang agar kefahaman serta sokongan rakyat terhadap agenda pembangunan negara dapat diperkukuh.

Akhirnya, keyakinan rakyat dapat dipertingkat, jurang persepsi dapat dirapatkan dan sokongan awam terhadap agenda Malaysia Madani terus diperkasa.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×