AS kawal pentadbiran, jualan minyak Venezuela - Trump

AS kawal pentadbiran, jualan minyak Venezuela – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan akan menentukan semua keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sementara Venezuela serta mengawal jualan minyak negara itu untuk tempoh yang tidak ditentukan selepas kejatuhan pemimpinnya, Nicolas Maduro.

Kenyataan Trump yang menegaskan penguasaan AS ke atas negara Amerika Selatan yang kaya dengan minyak itu dibuat walaupun Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodriguez, menegaskan tiada kuasa asing yang mentadbir Caracas.

“Kami jelas mempunyai pengaruh maksimum ke atas pihak berkuasa sementara Venezuela pada masa ini. Kami terus berkoordinasi rapat dengan pihak berkuasa sementara dan keputusan mereka akan terus ditentukan oleh AS,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt dalam satu sidang media.

Trump sebelum ini berkata AS akan mentadbir Venezuela yang memiliki rizab minyak terbesar di dunia.

Bagaimanapun, Washington tidak menempatkan pasukan tentera di darat dan dilihat bergantung kepada sekatan laut serta ancaman penggunaan kekerasan selanjutnya bagi memastikan kerjasama presiden sementara negara itu.

Setiausaha Negara, Marco Rubio menegaskan, AS tidak bertindak secara melulu selepas bertemu penggubal undang-undang di Capitol Hill yang mengkritik ketiadaan perancangan pasca-Maduro.

Namun setakat ini, pelan Trump banyak bergantung kepada perjanjian Venezuela untuk menyerahkan antara 30 juta hingga 50 juta tong minyak kepada AS bagi tujuan penjualan.

Trump berkata, di bawah perjanjian itu, Venezuela hanya akan membeli produk buatan AS menggunakan hasil keuntungan daripada jualan minyak berkenaan.

Beliau berkata, barangan itu termasuk produk pertanian, jentera, peralatan perubatan dan kelengkapan tenaga.

Rubio berkata, dalam fasa kedua yang digelar sebagai ‘pemulihan’, syarikat AS dan Barat akan diberi akses kepada pasaran Venezuela dan pada masa yang sama, memulakan proses perdamaian nasional dalam Venezuela.

Washington terus memperkukuh penguasaannya ke atas Venezuela apabila merampas dua kapal tangki minyak, termasuk sebuah kapal yang mempunyai kaitan dengan Rusia dan dikesan dari perairan Venezuela hingga ke Atlantik Utara.

Moscow mengecam tindakan itu, namun Leavitt menegaskan kapal tangki berkenaan dianggap tidak mempunyai kewarganegaraan selepas mengibarkan bendera palsu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×