SHAH ALAM: Masyarakat India dinasihatkan supaya membina kuil atau rumah ibadat di tempat yang bersesuaian bukan di atas tanah milik orang lain atau tidak diketahui statusnya.
Exco Sumber Manusia dan Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan membina kuil secara haram kemudian merayu supaya tidak dirobohkan atau diberi tapak baharu.
“Jangan kita buat bangunan (kuil) di tempat orang lain, kemudian kita merayu, kita minta, macam-macam kita buat. Saya tidak setuju dengan perkara-perkara sebegitu.
“Pemilik (tanah) ada semua hak. Kalau saya pun pemilik, orang lain buat sesuatu di atas tanah saya tanpa kebenaran, saya pun akan marah. Sebab itu kena ikut undang-undang.
“Kita patut menghormati undang-undang, kalau kita membiarkan perkara sedemikian berleluasa lagi, semua bina kuil dan minta tanah dekat kerajaan negeri, kita hendak cari dekat mana?” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Isnin lalu, seorang pemilik sebidang tanah di Dengkil, Sepang, Datuk Suhaili Ahmad mendakwa berlaku pencerobohan di atas tanah miliknya apabila terdapat sebuah kuil dibina secara haram.
Malah, kejadian tersebut merupakan kali kedua dialaminya dan kuil yang dibina baharu itu didakwa lebih besar berbanding sebelum ini.
Jelas Papparaidu, beliau berharap perkara sedemikian tidak lagi berulang kerana menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Jangan mengulangi perkara yang tidak diingini sebab ia membawa ketegangan antara semua pihak. Pemilik tanah itu adalah Melayu, sebab itu dia ingin membuat laporan dan sebagainya.
“Ada banyak lagi isu yang patut kita uruskan dan selesaikan bukan perkara sebegini. Saya sudah beritahu,” tegasnya. – UTUSAN










