KANGAR: Disisih saudara-mara terdekat, rakan-rakan dan penduduk kampung selain terpaksa berdepan stigma negatif masyarakat.
Itu antara dilema yang terpaksa ditanggung bekas pesakit Covid-19 sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan mereka mula mengalami trauma dan tekanan emosi.
Malah, ada dalam kalangan mereka meluahkan kepada Utusan Malaysia, situasi tersebut secara tidak langsung menyebabkan mereka patah semangat dan sehingga kini masih tidak sanggup berdepan dengan dunia luar.
Bekas pesakit Covid-19 tidak pernah meminta dijangkiti malah ramai dalam kalangan mereka sudah cukup ‘terseksa’ khususnya dari segi emosi dan psikologi selepas kehilangan ahli keluarga termasuk ibu dan bapa.
Seorang bekas pesakit Covid-19, Muhammad Fazli Mohd. Noor, 25, berkata, pada peringkat awal bebas daripada Covid-19, ramai rakan seolah-olah menjauhkan diri dan takut untuk mendekatinya meskipun sudah sembuh.
Dia yang terkena jangkitan Covid-19 pada awal tahun ini memberitahu, pada masa itu, dia berasa cukup sedih dan terasing.
Katanya, apa yang menyedihkan lagi adalah dari segi penerimaan dan persepsi orang ramai terhadap bekas pesakit Covid-19 seolah-olah mereka adalah pembawa virus.
“Bila kami sudah keluar daripada pusat kuarantin bermaksud kami sudah bebas daripada Covid-19 dan tidak perlu lagi takut.
“Selepas memberi penerangan, motivasi serta berkongsikan sedikit pengalaman ketika dijangkiti Covid-19 kepada rakan-rakan, mereka sudah mula faham dan tidak lagi rasa takut,” katanya.
Katanya, sokongan daripada masyarakat serta orang sekeliling amat diperlukan bagi memberi semangat kepada bekas pesakit khususnya bagi mereka yang cukup terkesan emosi selepas kehilangan ahli keluarga.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, masyarakat tidak sepatutnya mempunyai stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19.
Katanya, orang ramai sepatutnya memberikan sokongan kepada bekas pesakit Covid-19 bukannya menjauhkan diri sehingga boleh memberi kesan emosi kepada mereka.
“Tidak sepatutnya ada stigma negatif (kepada bekas pesakit Covid-19). Tidak perlu takut, bekas pesakit sudah pastinya mereka sudah sembuh dan tidak akan jangkiti orang lain.
“Bekas pesakit Covid-19 sudah melalui fasa yang cukup sukar apabila terpaksa duduk di hospital, kehilangan ahli keluarga dan pelbagai lagi. Mereka sama sekali tidak pernah minta dijangkiti dan masyarakat perlu sentiasa memberi sokongan selain tidak menyisihkan mereka,” katanya. -UTUSAN










