SENI batik sering dianggap sebagai warisan tradisi yang berakar pada masa lalu. Namun, seiring dengan peredaran zaman, seni ini terus berkembang dan tidak lagi terikat pada pendekatan analog semata-mata, malah turut diteroka melalui medium digital.
Seorang bekas pengamal teknologi maklumat (IT) membuktikan seni warisan seperti batik Malaysia masih mampu terus hidup dan kekal relevan apabila diterjemahkan melalui medium yang dekat dengan generasi masa kini.
Dikenali sebagai Superdoofus dalam dunia seni visual, Arif Raihan Osman, 49, bukan berasal daripada latar belakang seni. Dia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan pernah berkhidmat hampir 14 tahun dalam industri berkaitan sebelum membuat keputusan menukar haluan kerjaya.
Katanya, penglibatan awal dalam seni bermula dengan penghasilan novel grafik yang diterbitkan di Malaysia dan Singapura. Kini, fokusnya tertumpu kepada projek bersama penerbit di Singapura.
“Pada mulanya saya melukis novel grafik. Sekarang, saya banyak terlibat dengan projek penerbitan di Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Usaha dan kesungguhannya membuahkan hasil apabila dia dianugerahkan Anugerah Hedwig Anuar Children’s Book oleh Perpustakaan Negara Singapura pada 2024 menerusi karya Amazing Ash & Superhero Ah Ma.
EKSPORT BUDAYA MELALUI BATIK
Minat Arif Raihan terhadap batik Malaysia bermula pada 2020 apabila sebuah penerbit di Singapura merancang memasarkan buku mereka ke Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Ketika diminta menghasilkan reka bentuk kulit buku baharu, dia memilih batik Malaysia kerana melihatnya sebagai simbol budaya yang kuat dan mudah dikenali di peringkat antarabangsa.
“Dari situ saya mula mengkaji batik dengan lebih mendalam. Saya belajar teknik canting untuk memahami bagaimana lilin dan pewarna berfungsi, kemudian cuba menterjemahkan nilai itu ke dalam karya digital,” jelasnya.

Pendekatan tersebut mula mendapat perhatian apabila dia menyertai sambutan ulang tahun ke-40 Star Wars di Petaling Jaya. Karya berinspirasikan batik Malaysia yang dihasilkannya mendapat sambutan luar biasa, termasuk daripada peminat Singapura yang sanggup datang untuk memilikinya.
Pengalaman itu membuka matanya batik bukan hanya sesuai diaplikasikan pada kain, malah boleh diterjemahkan ke pelbagai medium visual yang lebih dekat dengan minat generasi muda.
DARAH SENI DALAM KELUARGA
Minat terhadap seni sebenarnya sudah lama wujud dalam keluarganya. Arwah bapanya, Othman Mansor, merupakan pensyarah seni di Maktab Perguruan Ipoh dan pernah menghasilkan beberapa karya cat minyak termasuk yang masih disimpan di Galeri Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
Walaupun kehilangan bapa sejak usia lima tahun, Arif Raihan membesar dalam persekitaran yang dikelilingi buku seni, lukisan serta cerita mengenai arwah bapanya. Pengaruh itu secara tidak langsung menyemai kecenderungannya terhadap seni, seiring dengan adiknya yang juga seorang pelukis.
Keputusan untuk meninggalkan kerjaya stabil dalam bidang IT bukan dibuat secara terburu-buru. Permintaan rakan-rakan terhadap hasil seninya seperti kulit buku, poster dan rekaan visual menjadi petanda awal seni berpotensi dijadikan kerjaya sepenuh masa.
“Selepas berbincang dengan isteri dan membuat perancangan kewangan, saya putuskan untuk fokus sepenuhnya sebagai artis visual,” katanya.
Pada peringkat awal, cabaran terbesar adalah memasarkan diri sebagai artis, lebih-lebih lagi ketika media sosial belum berkembang seperti hari ini. Dengan sifatnya yang pendiam, pemasaran secara bersemuka bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), karya seni digital berasaskan batik Malaysia mula mendapat perhatian di media sosial, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama, termasuk dengan pihak korporat.
PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN
Antara pencapaian yang paling membanggakan ialah apabila Sony Pictures Malaysia menghubunginya untuk menghasilkan karya promosi bagi filem Venom: The Last Dance. Dia juga diberi kepercayaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mereka bentuk mural batik di Jalan Parlimen.
Mural tersebut kemudiannya diiktiraf sebagai mural batik terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records pada 2025.
BATIK PERLU KEKAL RELEVAN
Arif Raihan menganggap setiap pengiktirafan yang diterima sebagai satu amanah untuk memastikan batik Malaysia terus hidup dan dihargai.
“Kalau generasi muda tidak nampak kaitan dengan batik, seni ini boleh hilang dalam satu atau dua generasi. Sebab itu batik perlu sentiasa segar dan dekat dengan kehidupan seharian,” katanya.










