Liverpool tumpul tanpa Isak, Salah

Liverpool tumpul tanpa Isak, Salah

Pemain tengah Leeds United, Anton Stach (kiri) bersaing mendapatkan bola dengan tonggak tengah Liverpool, Curtis Jones dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui penguasaan bola yang tinggi tidak membawa sebarang nilai apabila gagal diterjemahkan kepada peluang jelas, terutama ketika berdepan pasukan yang memilih untuk bertahan secara bertumpu dan berdisiplin.

Ketumpulan sentuhan berbisa di bahagian serangan menghantui Liverpool apabila sekadar terikat tanpa jaringan menentang Leeds United di Anfield, semalam, meskipun mendominasi hampir keseluruhan permainan.

Ketiadaan Mohamed Salah serta Alexander Isak nyata merencatkan ketajaman jentera serangan, dengan barisan depan The Reds kelihatan longgar dan kurang idea untuk memecah kebuntuan walaupun menguasai hampir 70 peratus permainan.

“Kami mengawal perlawanan tetapi kawalan sahaja tidak cukup. Untuk menewaskan pasukan yang bertahan rapat, anda perlukan kepantasan, kreativiti dan momen individu yang luar biasa.

“Bukan kali pertama musim ini, kami lihat pemain bekerja keras dan mahu menang, tetapi sukar untuk mencari ruang,” katanya..

Keputusan itu menyaksikan Liverpool meneruskan rentak sembilan perlawanan tanpa kalah, satu kebangkitan positif selepas melalui fasa sukar sebelum ini, namun persembahan tumpul masih menjadi kebimbangan dalam perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah.

Sementara itu, Leeds terus mengukuhkan momentum apabila melanjutkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan, sekali gus melebarkan jurang tujuh mata daripada zon penyingkiran, hasil pendekatan pragmatik yang membuahkan hasil di Anfield. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×